SHAH ALAM, 16 Mei (Bernama) -- Kerajaan disaran menggubal satu undang-undang khas bagi membendung penghinaan terhadap institusi diraja dan mempertahankan martabat Raja-Raja Melayu daripada terus dicabar oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) Datuk Ibrahim Ali berkata akta itu perlu diwujudkan segera sebagai langkah tegas menangani sebarang bentuk penghinaan, penderhakaan serta provokasi terhadap institusi beraja dan kedudukan Islam di negara ini.
“Kami mencadangkan penggubalan Rang Undang-Undang Kedaulatan Raja bagi tujuan mencegah dan menghukum mana-mana pihak atau individu yang mempersoalkan titah diraja, menghina, mengeji, memperlekeh, mempersenda atau melakukan apa-apa bentuk tindakan yang mencemarkan martabat Raja-Raja Melayu serta institusi diraja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Daulat Tuanku di luar Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di sini hari ini.
Ibrahim berkata cadangan itu dikemukakan susulan peningkatan kes penghinaan terhadap institusi diraja termasuk penularan karikatur yang didakwa menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di media sosial baru-baru ini.
Terdahulu, lebih 5,000 peserta terdiri daripada ahli parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan menyertai Himpunan Daulat Tuanku yang berarak sejauh kira-kira satu kilometer dari Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ke Bangunan SSAAS bermula 5 petang tadi.
Sebelum ini, Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar telah menyembah maklum kepada Sultan Sharafuddin bahawa sebanyak 307 laporan diterima berhubung penularan bahan di media sosial yang mengandungi unsur penghinaan terhadap baginda.
-- BERNAMA