AM

Sultan Pahang Zahir Hasrat Jadikan Kampung Bantal Sebagai Kampung Diraja

16/05/2026 11:17 PM

JERANTUT, 16 Mei (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan hasrat menjadikan Kampung Bantal, Ulu Tembeling di sini sebagai Kampung Diraja pertama di negeri itu. 

Al-Sultan Abdullah menyifatkan kampung yang berada di kawasan pedalaman berkenaan begitu dekat di hati keluarga diraja itu kerana menyimpan banyak kenangan selain menjadi lokasi baginda menyelami kehidupan rakyat.

“Saya nak jadikan kampung ini sebagai kampung khas, dan jika beberapa penambahbaikan infrastruktur dapat dilaksanakan, kita naik taraf supaya jadi Kampung Diraja. Tiada lagi di Pahang ini ada Kampung Diraja, ini kali pertama.

“Bantal juga merupakan nama panggilan kepada Tengku Ampuan Pahang Tengku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah semasa kecil oleh keluarga dan kampung ini meskipun jauh di mata, namun dekat di hati,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan alat perubatan oleh Institut Jantung Negara (IJN) dan bantuan kepada asnaf di Kampung Bantal di sini.

Turut berangkat paduka anakanda baginda Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Al-Sultan Abdullah bertitah kemudahan seperti pembinaan jambatan dan jalan raya juga dilihat perlu ditambah baik demi keselesaan dan keselamatan penduduk serta memudahkan urusan pengangkutan dan kegiatan ekonomi setempat.

Baginda juga menzahirkan harapan supaya penduduk terutama generasi muda merancakkan ekonomi setempat dengan mengusahakan aktiviti tanaman dan kraftangan.

Dalam pada itu, Sultan Pahang turut menasihati penduduk supaya menjaga kebersihan dan kesihatan agar dapat beribadah dengan sempurna serta menjalani kehidupan yang lebih sejahtera.

Terdahulu, baginda bersama Tengku Hassanal berkenan menyertai aktiviti gotong royong bersama penduduk setempat sebelum melawat projek fertigasi timun di Kampung Gusai, di sini.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2558007