AM

Fadhlina Umum Peruntukan Awal RM100,000 Susulan Kebakaran Stor Dewan SMK Putrajaya Presint 14 (1)

15/05/2026 09:57 AM

PUTRAJAYA, 15 Mei (Bernama) -- Peruntukan awal RM100,000 disalurkan segera bagi kerja pembersihan dan pemulihan susulan kebakaran stor dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 14 (1) semalam.

Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan (JPWP) Putrajaya dalam kenyataan hari ini memaklumkan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengumumkan perkara itu selepas meninjau lokasi kejadian semalam.

“Peruntukan itu turut melibatkan kerja awalan seperti penyambungan semula bekalan utiliti yang terjejas akibat kebakaran, pembaikan kecil di kawasan kebakaran dan bangunan berhampiran serta kerja berkaitan lain,” menurut kenyataan itu. 

JPWP Putrajaya memaklumkan tindakan segera menutup kawasan terjejas serta kawasan berhampiran telah diambil bagi memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan warga sekolah.

JPWP Putrajaya memaklumkan pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kebakaran.

Semalam, bomba mengesahkan menerima panggilan kecemasan pada 6.10 petang berhubung kebakaran melibatkan kerusi dan meja yang disimpan di bahagian belakang pentas dewan itu.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan kerana sesi persekolahan telah tamat. 

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2557173