AM

Putra Heights: Laporan Semakan Siasatan Jawatankuasa Bebas Dikemuka Kepada Pusat - MB Selangor

16/05/2026 07:40 PM

JOHOR BAHRU, 16 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor telah mengemukakan laporan semakan siasatan insiden letupan saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya yang diperoleh daripada Jawatankuasa Bebas kepada kerajaan Persekutuan, pada bulan lepas.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata langkah itu dilakukan, selepas jawatankuasa berkenaan membentangkan hasil laporan kepada kerajaan negeri.

“Dalam sekitar sebulan lepas, saya sudah kemukakan kepada kerajaan Persekutuan (sekarang) tunggu maklum balas sahaja. Kalau ada maklum balas saya kemukakan (kepada orang awam),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Jerayawara Siswa Kita Selangor Zon Selatan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan laporan siasatan Jawatankuasa Bebas tersebut.

Amirudin berkata laporan berkenaan akan dikemukakan kepada orang awam setelah mendapat kebenaran daripada kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata laporan berkenaan boleh dilihat sebagai kajian untuk masa hadapan, supaya kejadian seumpama itu boleh dielakkan daripada berulang serta langkah susulan yang boleh diambil.

Sebanyak lapan individu dilantik menganggotai Jawatankuasa Bebas berkenaan, yang dipengerusikan Felo Penyelidik Kanan Pusat Pencegahan dan Kesiapsiagaan Bencana (DPPC) Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) UTM Dr Khamarrul Azahari Razak.

Amirudin sebelum ini dilaporkan berkata panel bebas yang diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) itu, mempunyai kelayakan ikhtisas dalam pelbagai bidang berkaitan seperti cerun, bukit, minyak dan gas.

Mereka antara lain bertindak menyemak serta menilai laporan teknikal dikeluarkan pihak polis, bomba serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sebelum ini.

Insiden pada 1 April tahun lepas itu menyebabkan 1,254 orang daripada 308 keluarga terjejas dengan 87 rumah musnah serta 148 yang lain memerlukan pembaikan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2557972