KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Imigresen FC (IFC) terpaksa berpuas hati dengan berkongsi satu mata selepas terikat 1-1 dengan Melaka FC pada perlawanan terakhir Liga Super 2025/2026 di Stadium Tuanku Syed Putra Kangar, Perlis malam ini.
Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi seimbang pada separuh masa pertama, sebelum Imigresen FC di bawah bimbingan Yusri Che Lah berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-46 menerusi Fayadh Zulkifli.
Kedudukan itu bagaimanapun tidak bertahan hingga wisel penamat, apabila Dino Kalesic menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-60.
Usaha IFC untuk menambah jaringan sedikit terjejas apabila pemain importnya Eduardo Jose Sosa diarah keluar padang oleh pengadil Muhammad Nazmi Nasaruddin pada minit ke-64, selepas dilayangkan kad kuning kedua.
Bagaimanapun, Melaka FC gagal memanfaatkan kekurangan itu dan keputusan 1-1 terikat hingga tamat perlawanan.
Sementara itu di Seremban, Negeri Sembilan FC (NSFC) mencatat kemenangan 2-1 ke atas Kelantan The Real Warriors (TRW) dalam aksi terakhir di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Beraksi di hadapan penyokong sendiri, skuad Hobin Jang Hobin tampil lebih agresif sejak wisel permulaan dengan beberapa percubaan sebelum berjaya membuka jaringan pada minit kelapan menerusi tandukan kemas Ahmad Khuzaimi Piee yang gagal diselamatkan penjaga gol lawan, Mohammad Fikri Che Soh.
Selang tiga minit, NSFC menambah jaringan menerusi Mio Tsuneyasu yang menyudahkan rembatan Joseph Esso yang sebelum itu terkena tiang untuk gol kedua tuan rumah.
Kelantan TRW berjaya merapatkan jurang menerusi Muhammad Asraf Aliffuddin Yasin hasil hantaran tepat Muhammad Nor Azam Abdul Azih pada minit ke-27.
NSFC berpeluang menambah jaringan namun sepakan penalti yang diperoleh gagal disempurnakan Esso sebelum tamat separuh masa pertama.
Skuad kendalian K Rajan itu terus mengasak pada babak kedua perlawanan namun, disiplin pertahanan Kelantan TRW menyukarkan percubaan mereka dan kedudukan 2-1 kekal hingga lengkap perlawanan.
-- BERNAMA