JENAYAH & MAHKAMAH

Maritim Malaysia Selamatkan 23 Warga Indonesia Mangsa Bot Karam

12/05/2026 10:23 AM

IPOH, 12 Mei (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak berjaya menyelamatkan 23 pendatang warga Indonesia, selepas bot yang dinaiki mereka karam di perairan Pulau Pangkor dekat Lumut, semalam.

Pengarahnya Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata pihaknya menerima aduan kira-kira 5.30 pagi daripada seorang nelayan tempatan, yang menemukan mangsa terapung di laut dan memohon bantuan segera.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan dengan dua buah kapal maritim digerakkan ke lokasi, dibantu Pasukan Polis Marin, Tentera Laut Diraja Malaysia serta komuniti nelayan tempatan.

“Sebuah vesel nelayan tempatan berjaya menyelamatkan 23 mangsa terdiri daripada 16 lelaki dan tujuh wanita, dengan kesemua mereka telah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Shukri berkata hasil siasatan mendapati jumlah keseluruhan PATI yang berada di atas bot tersebut sebanyak 37 orang, namun 23 mangsa berjaya diselamatkan, manakala baki mangsa yang lain masih belum ditemukan sehingga kini dan operasi SAR sedang giat dijalankan.

Beliau berkata pihaknya turut menemukan tiga buah beg yang mengandungi pakaian yang disyaki milik mangsa yang terlibat dan proses pengecaman akan dilakukan daripada mangsa yang terselamat.

“Siasatan awal mendapati, kesemua mereka dipercayai bertolak dari Kisaran, Indonesia pada 9 Mei menuju ke Malaysia, dengan beberapa destinasi dipercayai termasuk Pulau Pinang, Terengganu, Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya.

Sementra itu, Mohamad Shukri berkata pihaknya menahan sebuah vesel nelayan kelas C menerusi operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan pada Ahad.

Beliau berkata vesel berkenaan ditahan pada kedudukan kira-kira 5.2 batu nautika tenggara Pulau Samak, kira-kira 6.39 petang.

“Hasil pemeriksaan mendapati, bot tersebut dikendalikan oleh tiga kru warga Myanmar termasuk tekong yang berusia antara 42 hingga 45 tahun.

“Kesemua kru disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan kurang daripada jarak yang dibenarkan iaitu 15 batu nautika dari daratan terhampir dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Mohamad Shukri berkata kesemua kru, vesel, peralatan menangkap ikan serta hasil laut yang dianggarkan bernilai lebih RM3 juta telah ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Kampung Acheh untuk siasatan lanjut.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2555813