DUNIA

Rusia, Indonesia Teroka Kerjasama Penggunaan Tenaga Nuklear Secara Aman

13/05/2026 04:35 PM

Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil

JAKARTA, 13 Mei (Bernama) -- Rusia dan Indonesia sedang meneroka kerjasama dalam penggunaan tenaga nuklear secara aman, termasuk projek tenaga nuklear, pembangunan infrastruktur nuklear, latihan kakitangan serta aplikasi teknologi nuklear bukan tenaga.

Perbadanan nuklear negara Rusia, Rosatom dalam satu kenyataan memaklumkan perkara itu dibincangkan dalam pertemuan pada Selasa antara Presiden Indonesia Prabowo Subianto dan Ketua Pengarah Rosatom Alexey Likhachev, yang sedang dalam lawatan kerja ke Indonesia.

Likhachev berkata Rosatom amat mementingkan dialog antara Rusia dan Indonesia dalam bidang nuklear yang berkembang dalam suasana saling percaya dan saling menghormati.

“Hari ini, Indonesia menetapkan matlamat bercita-cita tinggi bagi pembangunan tenaga nuklear, justeru kami membincangkan bukan sahaja teknologi, tetapi juga mewujudkan perkongsian jangka panjang.

“(Perkongsian itu) tertumpu kepada pembangunan industri baharu untuk negara, latihan tenaga kerja tempatan, kewujudan kepakaran baharu serta pengukuhan kedaulatan teknologi negara,” kata beliau menerusi kenyataan itu.

Likhachev berkata Rosatom bersedia menawarkan pendekatan menyeluruh kepada Indonesia bagi membangunkan program nuklear nasionalnya, termasuk penyelesaian tenaga nuklear berskala besar serta projek melibatkan reaktor modular kecil dan unit tenaga terapung.

Menurut Rosatom, kedua-dua pihak turut memberi perhatian khusus kepada integrasi tenaga nuklear ke dalam sistem tenaga Indonesia dengan mengambil kira kedudukan geografi negara kepulauan itu.

Rosatom menjelaskan bahawa Rusia dan Indonesia mengekalkan kerjasama dalam bidang nuklear selama hampir dua dekad, dengan tahun ini menandakan ulang tahun ke-20 Perjanjian Dua Hala Mengenai Kerjasama Penggunaan Tenaga Atom Secara Aman yang ditandatangani pada 1 Dis 2006.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2556432