IPOH, 2 Mei (Bernama) -- Seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun maut manakala dua individu lain cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 29.4 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dekat Kampar, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kampar Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata mangsa dikenal pasti sebagai Jayden Leong Zhi Yung dari Taman Perpaduan Koperasi, Ipoh.
Beliau berkata polis menerima maklumat kemalangan daripada orang awam pada 10.35 malam.
“Siasatan awal mendapati sebuah Toyota Hilux yang dipandu lelaki berusia 44 tahun dari arah Ipoh ke Kampar dipercayai hilang kawalan setibanya di lokasi dan terbabas ke laluan bertentangan lalu melanggar sebuah Perodua Bezza serta Perodua Myvi.
“Akibat pelanggaran itu, ketiga-tiga kenderaan mengalami kerosakan teruk,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Nazri berkata mangsa, yang juga penumpang hadapan Perodua Bezza, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada kepala dan kaki.
"Kakak mangsa, Jeno Leong Zhi Yung, 13, penumpang belakang kenderaan sama dan bapa mereka, Leong Hon Kin, 46, turut mengalami kecederaan pada kepala serta kaki. Kedua-duanya dihantar ke Hospital Kampar untuk mendapatkan rawatan.
“Pemandu Perodua Myvi berusia 23 tahun dan pemandu Toyota Hilux tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Beliau berkata ujian air kencing terhadap pemandu Toyota Hilux mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis ganja dan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.
-- BERNAMA