SEPANG, 3 Mei (Bernama) -- Perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao mengakui prestasi hambar di Piala Thomas 2026 sebagai detik hitam dalam perjalanan kariernya.
Pemain ranking 25 dunia itu berkata beliau cukup kecewa dengan aksinya apabila gagal menyumbang sebarang mata buat negara di Horsens, Denmark baru-baru ini.
Bagaimanapun beliau bertekad bangkit melupakan episod hitam berkenaan dengan tampil lebih mantap pada kejohanan yang akan datang.
“Ya (pengalaman terburuk dalam karier). Secara peribadi, saya akui prestasi yang ditunjukkan memang belum cukup (baik), ada kekurangan.
“Sekarang saya hanya mahu memulihkan (prestasi) dalam masa yang secepat mungkin dan untuk itu saya akan menilai semula aksi saya,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Dalam pada itu, pemain beregu lelaki negara Tee Kai Wun mengakui kempen Piala Thomas kali ini memberinya pengalaman cukup berharga meskipun gagal membantu Malaysia membawa pulang kejuaraan.
Menurut beliau, peluang berganding dengan pemain berbeza adalah medan terbaik buat dirinya untuk menimba pengalaman.
“Satu perkara yang baik untuk saya sebab digandingkan dengan pemain berbeza. Dekat situ saya boleh dapat pengalaman baharu,” katanya yang turut digandingkan dengan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, selain Man Wei Chong dalam kejohanan itu.
Pada kempen Piala Thomas 2026, Malaysia yang juga naib juara Kumpulan B menamatkan saingan di suku akhir selepas tewas kepada juara bertahan China 3-0.
-- BERNAMA