AM

Aspek Kebajikan Fokus Utama Dalam Program WRUR Santuni Golongan Sasar - Exco

03/05/2026 05:23 PM

MELAKA, 3 Mei (Bernama) -- Aspek kebajikan merupakan satu daripada fokus utama dalam pelaksanaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) dalam usaha memastikan golongan sasar atau memerlukan, disantuni dan tidak tercicir daripada bantuan diagihkan.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Nordin berkata menerusi agenda itu, tiga agensi di bawah portfolio beliau iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Pejabat Pembangunan Wanita (PPW) negeri digerakkan secara bersepadu bagi menyantuni golongan sasar terlibat.

"Setiap agensi ini memainkan peranan masing-masing, sebagai contoh JKM tonggak utama aspek kebajikan rakyat menerusi program ziarah kasih, LPPKN menerusi aspek kesihatan keluarga manakala PPW memperkasakan wanita menerusi pelbagai program dilaksanakan sepanjang WRUR.

"Bagaimanapun, setiap penerima bantuan kebajikan berbeza mengikut Dewan Undangan Negeri (DUN) dan sebagai contoh, sebelum ini, di DUN Pengkalan Batu, lebih 200 rumah telah kita santuni dan sampaikan bantuan diperlukan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas perasmian Majlis Pembukaan Program WRUR DUN Ayer Molek oleh Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek Datuk Rahmad Mariman.

Kalsom berkata program WRUR juga merupakan platform terbaik bagi meneruskan kesinambungan program kebajikan di negeri itu secara lebih berkesan.

Beliau berkata kebanyakan golongan sasar terlibat merupakan penerima bantuan kebajikan di negeri itu dan menerusi inisiatif berkenaan, mereka dapat terus disantuni sekali gus memastikan tidak berdepan sebarang masalah sepanjang tempoh penerimaan bantuan itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2552328