JENAYAH & MAHKAMAH

Ketenteraman Awam Terkawal Pada Kemuncak Rain Rave 2026 - Polis

03/05/2026 08:49 AM

​KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Hari kemuncak Festival Muzik Air Rain Rave 2026 yang dihadiri kira-kira 30,000 pengunjung di Bukit Bintang di sini malam tadi, berlangsung dalam keadaan selamat dan terkawal tanpa sebarang insiden tidak diingini.

​Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata secara keseluruhannya tahap keselamatan, ketenteraman awam dan aliran lalu lintas sepanjang acara penutup itu berada pada tahap baik.

Bagaimanapun, beliau berkata polis menahan seorang wanita tempatan berusia 28 tahun kerana didapati memiliki senjata tajam iaitu sebilah pisau.

“Suspek akan dibawa ke mahkamah pagi ini untuk proses reman dan lain-lain keadaan semua dalam keadaan terkawal dengan baik,” katanya pada sidang media selepas majlis penutup festival itu.

Fadil berkata selain wanita tersebut, pihaknya turut melakukan beberapa tangkapan pencegahan sepanjang festival berlangsung membabitkan individu yang dilihat mencurigakan.

“Bagaimanapun, setakat ini tiada antara mereka didapati positif dadah atau terlibat dalam apa-apa jenayah lain,” katanya.

Festival yang menampilkan pelbagai persembahan hiburan termasuk artis tempatan dan DJ antarabangsa itu, diadakan sempena sambutan Hari Pekerja sebagai sebahagian daripada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Bagi memastikan kelancaran acara sepanjang tiga hari penganjurannya, Fadil berkata sebanyak 500 pegawai dan anggota polis ditempatkan setiap malam, melibatkan keanggotaan daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, enam daerah di ibu negara serta bantuan daripada Bukit Aman.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2552155