AM

MoU Pengangkutan Laut Labuan-Menumbok Tingkatkan Kecekapan, Keselamatan

03/05/2026 05:40 PM

LABUAN, 3 Mei (Bernama) -- LDA Labuan (Holdings) Sdn Bhd (LDAH), pengendali Terminal Feri Antarabangsa Labuan (LIFT), dan Persatuan Pengusaha Bot Laju Menumbok (PPBLM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menambah baik sistem pengangkutan laut Labuan-Menumbok-Labuan.

MoU di bawah Inisiatif Sinergi Pengangkutan Laut Labuan-Menumbok-Labuan itu, bertujuan meningkatkan penyelarasan operasi serta memperkukuh ekosistem pengangkutan laut demi manfaat langsung pengguna, khususnya penduduk Labuan dan Sabah.

Majlis menandatangani MoU tersebut disaksikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Lo Su Fui di Terminal Feri Antarabangsa Labuan hari ini.

“Kerajaan komited untuk memastikan kerjasama ini dapat meningkatkan kecekapan operasi perkhidmatan pengangkutan laut serta kualiti penyampaian perkhidmatan kepada pengguna,” kata Lo.

Kerjasama ini akan mempertingkatkan hubungan pengangkutan laut antara Labuan dan Menumbok, Sabah, khususnya bagi penumpang harian, peniaga dan pengguna logistik, serta dijangka dapat mengoptimumkan penggunaan infrastruktur sedia ada dan menyokong kelancaran pergerakan serta pertumbuhan ekonomi antara Labuan dan Menumbok.

Inisiatif itu dibangunkan hasil sesi libat urus strategik di bawah Pasukan Petugas Industri Labuan (LITF), iaitu platform penyelaras yang menangani isu berkaitan industri serta memudah cara penyelesaian bersepadu melibatkan agensi berkaitan dan pemain industri.

Melalui inisiatif ini, beberapa aspek utama telah dikenal pasti, termasuk penyelarasan operasi dan kemudahan logistik, penambahbaikan mekanisme operasi seperti isu menurunkan penumpang, pengoptimuman jadual perjalanan serta potensi pengembangan perkhidmatan bot laju.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2552338