DUNIA

Peng Liyuan Sampaikan Ucapan Video Sempena Hari Tuberkulosis Dunia

19/03/2026 12:53 PM

BEIJING, 19 Mac (Bernama-CMG) -- Peng Liyuan, isteri kepada Presiden China Xi Jinping merangkap duta muhibah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi penyakit tuberkulosis (tibi) dan HIV/AIDS, menyampaikan ucapan video pada persidangan maya WHO sempena Hari Tuberkulosis Dunia 2026, pada Rabu.

Beliau berkata kerajaan China memberi perhatian tinggi terhadap usaha pencegahan dan kawalan penyakit tibi, selain memperkasakan inisiatif berkenaan melalui inovasi sains dan teknologi.

Peng berkata rangkaian perkhidmatan kesihatan yang meliputi lebih 1.4 bilion penduduk di seluruh negara secara berkesan meningkatkan akses kepada pencegahan dan rawatan tibi, sekali gus menurunkan kadar penyakit berkenaan.

Tahun ini menandakan ulang tahun ke-15 kempen “Aktiviti Promosi Pengetahuan Mengenai Pencegahan dan Rawatan Penyakit Tibi Disertai Jutaan Sukarelawan”. Sepanjang tempoh itu, lebih sejuta sukarelawan di seluruh negara terlibat dalam kempen berkenaan, dengan lebih 80,000 projek perkhidmatan dilaksanakan.

Dalam ucapannya, Peng turut menyeru negara-negara di seluruh dunia supaya mengambil tindakan, menyokong dan menyertai usaha pencegahan dan rawatan tibi selain bersama-sama membina komuniti kesihatan sesama insan.

-- BERNAMA-CMG

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2535968