RENCANA

Tibi Tidak "Hilang", Perlu Kawalan Berterusan Untuk Kekang Jangkitan

06/03/2026 09:09 AM
Daripada Balkish Awang

Ditanggapi sebagai penyakit yang sudah tinggal sejarah, tuberkulosis atau tibi kembali menjadi topik perbincangan masyarakat di negara ini selepas Kementerian Kesihatan melaporkan peningkatan insiden sejak awal tahun. 

Setakat 21 Feb lepas, kementerian itu merekodkan keseluruhan 3,161 kes dengan  596 kes baharu dilaporkan pada Minggu Epidemiologi keenam tahun ini (ME 6/2026).

 “Kehadiran semula” tibi mencetuskan persoalan sama ada penyakit itu masih menjadi ancaman walaupun rawatan dan langkah kawalan untuk membendung tibi telah lama tersedia di negara ini.

Hakikatnya, kata pakar, penyakit tibi tidak pernah “hilang” di negara ini walaupun telah agak lama masyarakat tidak mendengar kes jangkitan dilaporkan. 

 

KES BARU DAPAT DIKESAN

Mengulas lanjut, Pakar Perunding Perubatan dan Respiratori Dr Tengku Saifudin Tengku Ismail daripada Hospital Pakar Tawakkal, berkata tibi merupakan penyakit berjangkit yang mampu “berdiam diri” dalam tubuh selama bertahun-tahun tanpa sebarang gejala (tibi pendam) dan akan aktif apabilan sistem imun penghidap menjadi lemah. 

“Tibi pendam tidak menunjukkan gejala dan tidak berjangkit, namun berisiko menjadi aktif sekiranya sistem imun individu merosot. Tibi aktif pula boleh merebak melalui udara, khususnya di ruang tertutup tanpa sistem pengudaraan yang baik.


Pakar Perunding Perubatan dan Respiratori Dr Tengku Saifudin Tengku Ismail.

“Malaysia sebenarnya dikategorikan sebagai negara berisiko sederhana tinggi. Secara purata, kadar insiden tibi di Malaysia ialah sekitar 80 hingga 100 kes bagi setiap 100,000 penduduk setahun,” katanya kepada Bernama.

 Jelasnya, peningkatan kes yang dilaporkan sejak akhir-akhir ini disumbang oleh pengukuhan semula aktiviti saringan yang sebelum ini tidak dapat dilakukan berikutan penularan COVID-19.

“Justeru, sebahagian daripada kes baharu yang dilaporkan itu mungkin kes yang sebelum ini tidak dapat dikesan kerana penghidap tidak berpeluang mendapatkan pemeriksaan disebabkan oleh penularan COVID-19,” katanya. 

Selain itu, peningkatan golongan berisiko termasuk warga emas, pesakit diabetes dan penghidap HIV yang masing-masing mempunyai sistem imun lemah, turut menyumbang kepada pertambahan kes tibi.  

“Pesakit diabetes misalnya, mempunyai risiko dua hingga tiga kali ganda lebih tinggi untuk mendapat penyakit ini, dan di Malaysia, kadar prevalens diabetes adalah tinggi, iaitu satu daripada setiap lima orang dewasa,” jelas beliau.

Berhubung kaitan warga asing dengan penularan tibi, beliau berkata kelompok itu hanya menyumbang 15 peratus daripada keseluruhan kes.

"Walaupun tibi merupakan penyakit endemik di negara ini, majoriti kes (85 peratus) melibatkan warganegara Malaysia, terutama mereka yang ada faktor risiko seperti diabetes, dan berdasarkan data, adalah tidak tepat untuk menyalahkan kemasukan warga asing sebagai punca utama penyebaran tibi,” tegasnya. 

 

TIBI SUKAR PULIH 

Dr Tengku Saifudin berkata tibi berpunca daripada bakteria Mycobacterium tuberculosis  dan berbeza dengan penyakit paru-paru lain, kerana tibi paling kerap menyerang paru-paru serta boleh menjangkiti kelenjar, tulang, usus, otak dan organ lain. 

"Berbeza dengan jangkitan paru-paru biasa seperti pneumonia yang lazimnya berlaku secara mendadak dan sembuh dalam tempoh singkat dengan antibiotik biasa, tibi berkembang secara perlahan dalam masa berminggu atau berbulan dan memerlukan rawatan khusus,” katanya.


Penting untuk seseorang yang menghidap tibi menghabiskan kitaran rawatan bagi memastikan jangkitan tidak berulang.--fotoBERNAMA

Menggesa masyarakat agar peka terhadap gejala tibi, beliau berkata antara simptom yang ditunjukkan ialah batuk melebihi dua minggu, demam berpanjangan, berpeluh pada waktu malam dan berlaku penurunan berat badan tanpa sebab. 

"Jika ada simptom sedemikian, segera dapatkan pemeriksaan di klinik dan jangan tunggu sehingga menjadi lebih teruk. Lagi awal dikesan lagi mudah dirawat dan kurang risiko untuk menjangkiti orang lain. 

"Rawatan khusus tibi merangkumi empat jenis ubat sekurang-kurangnya untuk dua bulan, diikuti oleh dua jenis ubat tibi yang perlu diambil dalam tempoh sekurang-kurangnya empat bulan, manakala tempoh rawatan penyakit paling minimum mengambil masa enam bulan," katanya. 

Tegas beliau lagi adalah amat penting untuk penghidap TB aktif menghabiskan kitaran rawatan seperti yang ditetapkan bagi memastikan jangkitan tidak berulang dan mengelakkan risiko bakteria menjadi kebal terhadap ubat.

Katanya kegagalan mematuhi jadual dan dos rawatan bukan sahaja boleh menyebabkan penyakit berulang dalam bentuk yang lebih serius, malah meningkatkan risiko penularan serta memerlukan tempoh rawatan lebih lama dan kompleks.

Pada masa sama, beliau juga menyangkal tanggapan penghidap tidak akan pulih.

"Hakikatnya tibi boleh sembuh sepenuhnya jika ubat diambil dengan konsisten hingga tamat tempoh rawatan. Penyakit ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang. Dengan rawatan yang betul dan pemantauan rapi, kebanyakan pesakit boleh kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

“Oleh itu pendidikan kesihatan dan sokongan masyarakat sangat penting untuk menghapuskan stigma dan membantu pesakit mendapatkan rawatan awal serta lengkap," jelasnya.

 

 STIGMA

Dalam pada itu, Dr Tengku Saifudin percaya stigma antara faktor yang berisiko menghalang pengawalan penularan tibi.

“Stigma terhadap pesakit tibi masih wujud kerana penyakit ini sering dikaitkan dengan kemiskinan, kebersihan yang kurang baik serta  dianggap sebagai penyakit yang ‘bahaya dan memalukan’. Ada yang bimbang dijangkiti hanya dengan berada berdekatan dengan pesakit, sedangkan  pesakit yang telah memulakan rawatan dan mematuhi rejim rawatan lazimnya menjadi tidak berjangkit satu tempoh tertentu.


Penting untuk masyarakat didedahkan kepada tibi pendam dan mengesan penularannya kerana tibi pendam tidak menunjukkan sebarang gejala.--fotoBERNAMA

“Stigma ini boleh menyebabkan pesakit malu untuk tampil mendapatkan rawatan, lewat berjumpa doktor dan berhenti makan ubat lebih awal kerana takut diketahui orang sekeliling. Akhirnya semua ini boleh melambatkan penyembuhan dan meningkatkan risiko jangkitan kepada orang lain," katanya.

Selain itu, beliau berkata ada dalam kalangan masyarakat yang percaya penyakit tersebut hanya berlaku pada kelompok tertentu dan pesakit perlu diasingkan sepenuhnya untuk satu tempoh yang lama.

“Kesemua ini adalah salah tanggapan yang perlu diperbetulkan sekiranya mahu memastikan penularan penyakit tibi dapat dikawal,” katanya.

 

TIBI PENDAM, TIBI AKTIF 

Sementara itu, Pakar Perunding Respiratori Hospital Raja Perempuan Zainab II  Datuk Dr Mat Zuki Mat Jaeb berkata masyarakat kembali membincangkan hal penyakit tibi susulan kes yang dilaporkan kebelakangan in.

Mengesyorkan agar usaha kesedaran harus dipergiat bagi meningkatkan kepekaan masyarakat terhadap tibi, beliau berkata adalah penting untuk masyarakat didedahkan kepada tibi pendam dan mengesan penularan jangkitan jenis ini.


Pakar Perunding Respiratori Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Datuk Dr Mat Zuki Mat Jaeb (kanan) semasa temu bual dalam program bual bicara Ruang Bicara: Ancaman Tibi – Jangan Ambil Mudah terbitan Bernama TV baru-baru ini. --fotoBERNAMA

"Bagi kes tibi pendam, pada peringkat awal, jangkitan berlaku melalui saluran pernafasan. Seseorang individu boleh terdedah apabila berada berdekatan pesakit tibi yang batuk atau bercakap kerana bakteria tersebut merebak melalui titisan udara (airborne transmission). Apabila titisan yang mengandungi kuman itu disedut, ia akan masuk ke dalam saluran pernafasan dan seterusnya ke paru-paru.

"Namun begitu, tubuh secara semula jadi mempunyai mekanisme pertahanan untuk mengawal jangkitan tersebut. Sebahagian kuman mungkin akan mati manakala sebahagian lagi dapat dikawal oleh sistem imun. Dalam keadaan ini jangkitan berada dalam bentuk pendam kerana bakteria masih wujud tetapi tidak aktif," katanya dalam program Ruang Bicara: Ancaman Tibi - Jangan Ambil Mudah, terbitan Bernama TV, baru-baru ini.

Beliau berkata keadaan itu berbeza dengan tibi aktif yang gejalanya diketahui orang ramai, iaitu  batuk, demam , hilang selera makan dan berpeluh waktu malam.

Tambah beliau kuman tibi boleh berada di dalam badan selama bertahun-tahun dan hanya menjadi aktif apabila imuniti badan seseorang lemah akibat faktor usia atau mendapat penyakit kronik.

"Sistem imum dapat mengawal tibi tetapi dalam keadaan tertentu apabila imun kita menjadi lemah contoh bagi pesakit yang ada diabetes , HIV, pesakit yang makan ubat steroid dan kanser tubuh tidak lagi mampu mengawal kuman yang bersembunyi di dalam sel.

"Apabila keadaan ini berlaku kuman tersebut akan mula membiak dan menyebabkan jangkitan menjadi aktif. Inilah yang menyebabkan tibi pendam bertukar kepada tibi aktif," katanya.

Pada masa sama, Dr Mat Zuki turut mengingatkan pesakit supaya tidak menghentikan rawatan sesuka hati walaupun sudah berasa sihat bagi mengelakkan kuman menjadi kebal ubat atau Multi-Drug Resistant TB (MDR-TB) yang jauh lebih sukar dan mengambil masa lebih lama untuk dirawat.

 

MASIH STABIL

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam)  Dr Ismuni Bohari pula berkata jangkitan tibi di negara ini masih di tahap stabil dengan status jangkitan pada kadar antara 61 hingga 80 kes bagi setiap 100,000 penduduk sejak 2015.

"Untuk tiga tahun ini, iaitu 2023, 2024, 2025 bilangan kes baharu yang dicatatkan lebih kurang 78 bagi setiap 100,000 penduduk (2023) diikuti 76 kes pada 2024 dan 2025 adalah 77 kes, iaitu nisbahnya tidak sampai 100 orang pun,"  katanya dalam program sama.


Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Dr Ismuni Bohari.--fotoBERNAMA

Akan tetapi katanya, cabaran utama dalam mengawal tibi pada ketika ini ialah penularan tibi pendam berikutan simptomnya yang tidak dapat dilihat.

 “Inilah yang paling kami risaukan. Setiap kali berlaku kes tibi kami akan menjalankan siasatan dan pengesanan kontak secara menyeluruh bagi mengenal pasti individu yang berpotensi dijangkiti supaya tindakan segera dapat diambil." katanya.

Beliau turut menasihati individu bergejala supaya memakai pelitup muka atau menjalani saringan sebelum menghadiri aktiviti kemasyarakatan, khususnya di ruang tertutup bagi melindungi individu lain yang mempunyai imuniti rendah.

KEYWORDS
      
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2530925