AM

NGO Cadang Tubuh Jawatankuasa Khas Tangani Isu Sensitif Berkaitan Rumah Ibadat

19/03/2026 04:29 PM

Oleh Muhammad Saufee Rosman dan N. Kuvineshwaran

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Sesi perdamaian melibatkan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) daripada komuniti Melayu dan India yang berlangsung semalam, antaranya mencapai resolusi supaya kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menangani isu berkaitan rumah ibadat yang dibina tanpa kebenaran.

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, antara yang menyertai sesi berkenaan, berkata jawatankuasa itu dicadangkan untuk berperanan sebagai platform rasmi bagi menangani isu sensitif berkenaan, selain memastikan setiap tindakan diambil secara teratur dan mengikut lunas undang-undang.

"Kita bersetuju untuk satu jawatankuasa ditubuhkan oleh pihak kerajaan sama ada di Jabatan Perdana Menteri (JPM) atau Kementerian Perpaduan Negara (KPN) untuk menangani isu-isu sensitif sebegini termasuk pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Zainul Rijal berkata sebarang struktur rumah ibadat yang dibina secara tidak sah perlu ditangani mengikut peruntukan undang-undang, namun pelaksanaannya perlu mengambil kira sensitiviti agama.

“Jika melibatkan pemindahan atau perobohan, ia perlu dilakukan dengan penuh hormat terhadap objek keagamaan dan amalan penganut, termasuk mendapat khidmat pihak berkaitan seperti pemimpin agama bagi mengelakkan ketegangan,” katanya.

Mengulas lanjut, Zainul Rijal berkata cadangan penubuhan jawatankuasa itu akan dibawa kepada kerajaan dalam masa terdekat.

Beliau turut memaklumkan bahawa pertemuan menerusi program Harmoni MADANI bagi mencari titik perdamaian dalam usaha menyelesaikan kemelut dihadapi kedua-dua komuniti secara baik dan menyeluruh akan mengadakan sesi susulan, namun tarikh belum ditetapkan setakat ini.

Semalam, 30 wakil kedua-dua komuniti mengadakan sesi pertemuan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), dengan sesi berkenaan turut memberikan ruang kepada beberapa individu yang sebelum ini dianggap mencetuskan kontroversi berkaitan isu tersebut, untuk menjelaskan pendirian masing-masing secara langsung bagi membantu meredakan ketegangan.

Sementara itu, Pengerusi Kuil-Kuil Hindu dan Persatuan-Persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima) Datuk N. Sivakumar mencadangkan pelaksanaan audit tanah melibatkan rumah ibadat bukan Islam susulan daripada perbincangan sesi Harmoni MADANI, semalam.

Beliau berkata audit berkenaan hendaklah dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan bagi memastikan penyelarasan yang lebih tersusun, memandangkan urusan tanah, pemetaan dan penguatkuasaan tanah di negeri-negeri terletak di bawah bidang kuasa negeri.

“Tanpa penyelarasan pusat, usaha audit akan berdepan dengan ketidakseragaman dari segi dasar, pendekatan dan pelaksanaan antara negeri-negeri,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurutnya, satu Pasukan Khas Audit Nasional perlu diwujudkan di bawah Jabatan Perdana Menteri sebagai mekanisme penyelaras utama bagi memastikan keseragaman dasar, pemantauan dan pelaksanaan yang lebih berkesan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Azizuddin Ahmad berkata inisiatif pertemuan Harmoni MADANI antara wakil daripada komuniti Melayu dengan India merupakan langkah penting dalam meredakan ketegangan serta memperkukuh keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

Beliau berkata Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan agama perlu terus mengangkat prinsip “kepelbagaian dalam bingkai kesatuan” dengan menjadikan perbezaan sebagai kekuatan, selain menekankan konsep kehidupan bersama secara damai sebagai asas kestabilan dan kesejahteraan negara.

“Pendekatan budaya damai yang menolak konflik serta mengutamakan hikmah, dialog, keadilan dan ihsan perlu dibudayakan dalam mengurus kepelbagaian masyarakat,” katanya menerusi kenyataan.

-- BERNAMA


 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2536066