LABUAN, 19 Mac (Bernama) -- Terminal Feri Ro-Ro Labuan mencatatkan aliran trafik yang lebih lancar dan kesesakan semakin berkurangan menjelang musim perayaan hasil pelaksanaan langkah proaktif menerusi Vehicle Ferry Operations Task Force.
Perbadanan Labuan (LC) dalam kenyataan kepada Bernama hari ini memaklumkan, langkah berkenaan diperkenalkan sebagai sebahagian daripada usaha bersepadu bagi memastikan pergerakan kenderaan lebih lancar serta meningkatkan kecekapan operasi di terminal itu.
Antara langkah utama yang diperkenalkan termasuk penutupan sementara kiosk imigresen pandu lalu, serta penempatan pasukan tambahan pemeriksaan kastam, yang mempercepat proses kenderaan untuk menaiki feri.
Inisiatif itu berjaya mengurangkan purata kelewatan pelepasan feri kepada kurang daripada 10 minit berbanding sebelum ini antara 30 hingga 60 minit, sekali gus memastikan pergerakan lebih lancar di terminal berkenaan.
Jabatan Laut dan pengendali feri turut menguatkuasakan peraturan lebih ketat terhadap pematuhan jadual pelepasan, iaitu tiada kompromi terhadap kenderaan yang tiba lewat.
Langkah itu akan membolehkan kenderaan dalam senarai menunggu diproses serta-merta sebaik tempoh yang diberikan berakhir, sekali gus meningkatkan lagi kecekapan operasi.
Selain itu, kawasan parkir tambahan telah ditetapkan bagi kenderaan dalam senarai menunggu antara bangunan Public Bank Berhad dan Skylux Duty Free bagi mengurangkan kesesakan serta menambah baik pengurusan trafik di sekitar terminal.
Bagi menampung peningkatan jumlah penumpang dan kenderaan yang dijangka semasa tempoh perayaan, pengendali feri telah diarahkan menambah bilangan perjalanan.
Jabatan Laut telah meluluskan 26 perjalanan feri tambahan untuk laluan Labuan-Menumbok-Labuan dari 17 hingga 30 Mac sempena Aidilfitri dan cuti persekolahan.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Ismail melawat lokasi terminal sebagai sebahagian daripada pemantauan berterusan di bawah pasukan petugas.
Beliau berkata pihak berkuasa akan terus mempertingkat pemantauan serta melaksanakan penambahbaikan lanjut bagi memastikan kelancaran aliran trafik dan keselesaan pengguna, khususnya sepanjang tempoh perayaan.
-- BERNAMA