AM

Kerajaan MADANI Jamin Bekalan Asas Mencukupi - Mustapha Sakmud

19/03/2026 03:50 PM

KOTA KINABALU, 19 Mac (Bernama) -- Kerajaan MADANI akan terus berusaha memastikan keperluan asas rakyat mencukupi terutama di Sabah dan Sarawak dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Mustapha Sakmud.

Beliau berkata langkah itu termasuk mengekalkan harga bahan api serta memastikan bekalan barangan asas kekal stabil agar rakyat tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup.

"Jadi kita harap ia akan semakin baik supaya kita tidak akan dapat kesan daripada krisis peperangan (Asia Barat) tersebut. Tapi pada masa yang sama buat masa ini Kerajaan MADANI akan cuba untuk memastikan keperluan asas kita mencukupi.

"...dan kita masih juga mengekalkan harga terutama petrol dan diesel ini terutama di Sabah ini kita masih pastikan supaya rakyat tidak terbeban dengan peningkatan kos yang agak mendadak sekarang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri ‘Program Sumbangan Pembelian Baju Raya Untuk Murid Asnaf’ anjuran Pejabat Ahli Parlimen Sepanggar di sebuah premis pakaian di Alam Mesra di sini.

Sementara itu, Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan pembelian panik kerana bekalan barangan asas termasuk beras masih mencukupi.

"Kita sebenarnya dari segi bekalan kita masih mencukupi. Jadi kita harap supaya orang ramai jangan panik, keadaan masih terkawal. Jadi kita kena rancang, yang penting kita kena berjimat cermat itu saja dia punya pendekatan sekarang ini, berjimat cermat," katanya.

Beliau berkata seramai 50 murid daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Gantisan dan SK Pengiran Siti Hafsah di Karambunai dipilih menyertai program tersebut pada tahun ini.

"Memang kita di Parlimen Sepanggar amat prihatin dengan mana-mana golongan yang amat memerlukan. Kita tidak mahu ada anak-anak yang tercicir tidak dapat menikmati kegembiraan Hari Raya disebabkan masalah-masalah ketidakmampuan," katanya.

Beliau berkata program berkenaan yang memasuki siri ketiga itu dilaksanakan setiap tahun dengan pendekatan giliran melibatkan sekolah-sekolah terpilih.

Katanya pemilihan peserta dibuat oleh pihak sekolah dengan memberi keutamaan kepada golongan B40 termasuk yang tersenarai dalam sistem e-Kasih, anak yatim piatu serta pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2536054