JENAYAH & MAHKAMAH

Jenayah Indeks Di Melaka Catat Peningkatan 2.9 Peratus

19/03/2026 11:09 AM

MELAKA, 19 Mac (Bernama) -- Jenayah indeks di Melaka mencatatkan peningkatan sebanyak 2.9 peratus kepada 318 kes dalam tempoh 1 Jan hingga 16 Mac, berbanding 309 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata daripada jumlah itu, jenayah kekerasan termasuk kes rogol dan mendatangkan kecederaan meningkat sebanyak 6.3 peratus kepada 67 kes dalam tempoh sama tahun ini berbanding 63 kes pada tahun lepas.

"Jenayah rogol yang direkodkan bukanlah secara paksaan tetapi melibatkan pelajar bawah umur, ini yang menyebabkan peningkatan kes pada tahun ini, selain kes mendatangkan kecederaan parah. Namun, kes samun tanpa senjata api menurun.

"Begitu juga jenayah harta benda turut meningkat sebanyak dua peratus kepada 251 kes dalam tempoh sama tahun ini berbanding 246 kes pada tahun lepas, yang melibatkan peningkatan kes curi dan curi motosikal," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Ronda Santai Panjut Pelita bersama Ketua Polis Melaka di Balai Polis Batang Tiga, yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit.

Dalam perkembangan lain, Dzulkhairi berkata kira-kira 300,000 kenderaan dijangka memasuki Melaka sepanjang cuti Aidilfitri ini dan tahap kesesakan trafik juga dijangka meningkat di beberapa kawasan, khususnya pada waktu puncak.

Beliau berkata kawasan berkenaan ialah sekitar bandar Melaka, bulatan Simpang Ampat berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat dan laluan utama menuju ke Plaza Tol Ayer Keroh.

"Sebanyak 166 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Melaka telah ditugaskan bagi memastikan kelancaran trafik serta mengurangkan risiko kemalangan, khususnya di 10 hotspot dan tujuh blackspot di sekitar negeri ini," katanya.

Beliau berkata Ops Lancar Aidilfitri akan dilaksanakan dalam dua fasa, iaitu pada semalam hingga esok dan 27 hingga 29 Mac, manakala Ops Selamat 26 pula diadakan selama enam hari bermula hari ini.

Terdahulu, beliau berkata Program Ronda Santai Panjut Pelita bukan sahaja bertujuan memantau kesiapsiagaan anggota tetapi juga membuka ruang untuk anggota menzahirkan kreativiti mereka menghias panjut pelita sempena Aidilfitri sekali gus memperkukuh hubungan antara pasukan dan komuniti.

Beliau berkata menerusi program itu, tiga balai polis telah dilawati, iaitu Balai Polis Simpang Bekoh, Balai Polis Hutan Percha dan Balai Polis Batang Tiga.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2535913