MELAKA, 18 Mac (Bernama) -- Sambutan Aidilfitri sebahagian penduduk di Bukit Rambai di sini suram selepas rumah mereka mengalami kerosakan akibat ribut pada petang semalam.
Jurujual Siti Hajar Mohd Noor, 42, dari Kampung Seberang Gajah 1 berkata kejadian kira-kira 5.30 petang menyebabkan bumbung rumah pusaka lebih 69 tahun itu diterbangkan angin sehingga rumah dimasuki air hujan.
“Hanya abang berada di rumah dan saya dimaklumkan oleh ibu saudara yang tinggal berhampiran melalui telefon. Luluh dan sedih melihat sebahagian bumbung diterbangkan angin.
“Alhamdulillah tiada kemalangan atau kecederaan berlaku,” katanya yang berharap kerajaan negeri dapat membantu mangsa ribut membaiki rumah yang terjejas akibat kejadian itu.
Penduduk Kampung Gedong Lalang 1 Noryah Talib, 75, yang tinggal bersendirian berkata pengalaman ribut itu menakutkan selain berasa sedih kerana hanya beberapa hari lagi akan menyambut hari raya.
“Kejadian berlaku selepas mak cik menyapu di luar rumah. Mulanya hujan rintik sebelum angin kuat dan hujan lebat. Mak cik berlari masuk rumah untuk menyelamatkan diri,” katanya.
Noryah berkata buat masa ini, dia tinggal sementara bersama-sama anaknya yang berhampiran dan berharap kerosakan bumbung akibat kejadian itu dapat dibaiki supaya dapat kembali menetap di rumah sendiri.
Pekerja kilang Mohmood Sasri Mahmood, 29, dari Kampung Gedong Lalang 1 berkata bumbung ruang tamu rumahnya rosak, namun bersyukur tiada kecederaan menimpa ibunya yang tinggal dengannya.
“Mulanya hanya hujan biasa tetapi beberapa minit kemudian menjadi lebat berserta angin kuat sebelum bumbung diterbangkan angin. Sebahagian rumah juga dimasuki air hujan,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelebang Datuk Lim Ban Hong berkata kejadian menyebabkan kira-kira 50 rumah termasuk taska mengalami kerosakan seperti bumbung tercabut, bangunan retak dan struktur rosak selain dua kereta dihempap pokok tumbang.
Beliau berkata penilaian kerosakan rumah sedang dilakukan pegawai Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Melaka Tengah bagi membolehkan bantuan wang ihsan bencana alam segera disalurkan agar kerja baik pulih dapat dilakukan.
Sumbangan itu diharapkan membantu meringankan beban mangsa, terutamanya menjelang Aidilfitri.
-- BERNAMA