JERTIH, 12 Mac (Bernama) -- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu berjaya menyelamat dan memindahkan seekor gajah jantan yang tersesat dari Hutan Simpan Hulu Besut (Kampung Keruak) di Kampung Pasir Akar, Hulu Besut, di sini.
Pengarah Perhilitan Terengganu Dennis Ten Choon Yung berkata gajah jantan dewasa tidak mempunyai gading itu ditangkap pada Isnin lepas, dan haiwan itu mula dikesan di Kampung Keruak sejak 5 Mac lepas.
Beliau berkata operasi menaikkan gajah liar dianggarkan berumur 30 tahun dan seberat tiga tan itu ke atas lori khas bermula 9 pagi dan selesai kira-kira 12.30 tengah hari semalam, dan dilepaskan ke habitat asal hari ini.
“Operasi dibantu dua gajah denak betina Suria dan Indah yang dibawa dari Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka.
“Sebanyak 20 anggota melibatkan Perhilitan Terengganu, Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka, Hulu Terengganu dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Temerloh, Pahang menyertai operasi memindahkan gajah itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, seorang penduduk kampung, Razali Awang Hamat, 68, menyuarakan kelegaan dengan tindakan pantas pihak Perhilitan menangkap gajah itu, sebelum kerosakan lebih teruk berlaku.
Dia berkata sebaik aduan dibuat pada malam Ahad lepas, pihak Perhilitan terus datang melakukan operasi dan berjaya menangkap gajah berkenaan.
“Gajah itu telah melalui kawasan sawah padi penduduk dan merosakkan beberapa pokok kelapa sawit saya yang dianggarkan kerugian RM1,000.
“Usaha menangkap dan memindahkan gajah di kawasan kampung ini dapat mengelakkan penduduk mengalami kerugian lebih besar akibat tanaman dirosakkan, selain risiko ancaman keselamatan,” katanya ketika ditemui di Pasir Akar di sini.
-- BERNAMA