KOTA KINABALU, 12 Mac (Bernama) -- Bekas Pengarah Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) Sabah Tseu Kei Yue mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 20 pertuduhan bersubahat memperoleh pelbagai barangan bernilai lebih RM100,000, pada 2023 dan 2024.
Pengakuan Tseu, 58, yang kini bertugas sebagai Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sabah direkodkan di hadapan Hakim Elsie Primus.
Mengikut pertuduhan, Tseu didakwa bersubahat dengan beberapa petugas DIDR Sabah mendapatkan pelbagai barang berharga tanpa balasan daripada beberapa syarikat yang mempunyai hubungan kerja rasmi dengan jabatan itu.
Kesalahan dilakukan antara Disember 2023 dan Januari 2024 di sekitar Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan membabitkan barangan seperti telefon pintar iPhone dan Samsung, mesin basuh, komputer riba serta tablet, peralatan gim, gitar selain wang tunai.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 165 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah Rustam Sanip manakala Tseu diwakili peguam Bartholomew Jingulam.
Mahkamah membenarkan jaminan RM30,000 dengan deposit RM10,000 dengan syarat Tseu melapor diri di pejabat SPRM dua bulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 24 April.
-- BERNAMA