KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Penutupan berterusan Selat Hormuz susulan peningkatan ketegangan ketenteraan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran menyebabkan inventori minyak negara Teluk menghampiri paras kapasiti maksimum, sekali gus menimbulkan cabaran operasi besar kepada loji penapisan di rantau itu.
Naib Presiden Kanan Pasaran Komoditi–Minyak Rystad Energy Pankaj Srivastava berkata dengan bekalan minyak mentah terus tersekat di Teluk, penapis minyak mungkin terpaksa menyesuaikan operasi tidak lama lagi dengan mengurangkan kadar pemprosesan apabila eksport produk terhenti dan pengeluaran hanya disalurkan kepada pasaran domestik.
“Tiga faktor utama akan menentukan daya tahan sistem penapisan di rantau Teluk: keupayaan memintas selat itu melalui laluan eksport alternatif, keseimbangan permintaan produk domestik, serta kapasiti penapisan dan eksport produk berbanding kadar operasi semasa loji penapisan,” katanya dalam kenyataan mengenai Kemas Kini Pasaran Minyak Rystad Energy.
Beliau berkata setakat ini Bahrain dan Kuwait berdepan risiko operasi paling tinggi berikutan sistem penapisan yang bergantung kepada eksport tanpa laluan alternatif.
“Penutupan pengeluaran dan pengurangan operasi penapisan berkemungkinan berterusan di seluruh rantau ini selagi perang berlanjutan, sekali gus mengancam kira-kira dua juta tong sehari bekalan minyak global sekiranya selat itu kekal tidak dapat dilalui dalam tempoh enam minggu akan datang,” katanya.
Sementara itu, harga minyak mentah Brent melonjak kepada US$116.50 setong ketika pembukaan pasaran sebelum susut kepada US$104.50 setong selepas Kumpulan Tujuh (G7) dilaporkan akan mengeluarkan bekalan minyak tambahan mereka.
Bagaimanapun, kenaikan itu masih mewakili peningkatan hampir 45 peratus sejak konflik bermula, kata Pankaj.
Beliau turut berkata lonjakan harga tersebut telah mengubah secara ketara unjuran asas pasaran yang diterbitkan dua minggu sebelum konflik tercetus.
“Dalam situasi sebelum perang, kami menjangkakan harga Brent purata sekitar US$60 setong pada 2026 berikutan lebihan bekalan pasaran yang besar sebanyak 2.6 juta tong sehari,” katanya.
Setakat ini, kebanyakan kesan konflik hanyalah melibatkan langkah berjaga-jaga dan terhad.
Di Kuwait, loji penapisan Mina Al Ahmadi masih beroperasi walaupun mengalami kerosakan akibat terkena serpihan serangan, manakala kemudahan Ras Tanura di Arab Saudi, yang sudah ditutup bagi penyelenggaraan berjadual sejak minggu terakhir Januari, melanjutkan tempoh penutupan susulan serangan dron dan kebakaran akibat serpihan.
Sementara itu, loji penapisan Haifa di Israel menutup beberapa unit bagi mengelakkan kerosakan, manakala Iran melaporkan serangan berhampiran pelabuhan Persian Gulf Star/Bandar Abbas serta kemudahan di Tehran. Loji penapisan Sitra di Bahrain turut mengalami kerosakan kecil.
Pengurangan operasi paling ketara dilaporkan berlaku di Qatar apabila pengeluaran gas asli cecair (LNG) dihentikan di Ras Laffan dan Mesaieed.
Di Emiriah Arab Bersatu, serangan dron mencetuskan kebakaran di tangki simpanan Fujairah serta kompleks Ruwais milik ADNOC, namun unit yang terjejas tidak didedahkan. Loji penapisan Ruwais West juga dilaporkan ditutup sebagai langkah berjaga-jaga dengan tanpa sebarang kecederaan dilaporkan.
Loji penapisan Duqm di Oman pula sehingga setakat ini dilaporkan tidak terjejas dari segi operasi.
-- BERNAMA