JENAYAH & MAHKAMAH

Enam Premis Ikan Hiasan Diserbu, Spesies Invasif Disita

05/03/2026 07:29 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerbu enam premis ikan hiasan di Jalan Pudu di sini kerana menjual pelbagai spesies ikan larangan dan beroperasi tanpa permit.

Pengarah Perikanan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/Putrajaya Suhanah Kassiron berkata operasi dari 10 pagi hingga 2 petang itu menyita 675 ikan daripada pelbagai spesies larangan termasuk jenis invasif bernilai RM35,674. 

Antara spesies itu ialah Arapaima, Sturgeon, Midas, Peacock bass, udang kara Cambaridae, Baung Ekor Merah Amazon, Pacu dan Flowerhorn.

“Ikan larangan ini boleh merosakkan ekosistem jika dilepaskan di perairan umum. Saya menasihatkan orang awam tidak memiliki dan tidak melepaskan ikan ini di perairan umum,” katanya pada sidang media selepas operasi hari ini.

Suhanah berkata semua enam premis itu melakukan kesalahan mengikut Kaedah-Kaedah Perikanan (Akuakultur Perikanan Darat) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan 2017.

Beliau berkata pemilik premis yang gagal mematuhi peraturan boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya bagi setiap kesalahan, jika didapati bersalah.

Sementara itu, Penolong Pengarah Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Celescoriano Razond berkata sebanyak 304 kura-kura dan labi-labi pelbagai spesies bernilai kira-kira RM300,000 turut disita dalam operasi itu.

Beliau berkata antara yang dirampas ialah spesies bernilai tinggi seperti Pig-nosed Turtle dan Labi-labi Albino yang boleh mencecah ribuan ringgit seekor. 

Beliau berkata haiwan yang disita dibawa ke pusat biosekuriti Perikanan Selangor untuk tindakan lanjut dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 117 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Operasi melibatkan 42 anggota penguat kuasa turut disertai Wildlife Crime Bureau (WCB/PSK) PDRM, Perhilitan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2530810