KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Seorang wanita melecur kira-kira 70 peratus manakala dua lagi individu mengalami kecederaan ringan dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Tun Razak berhampiran Kelab The Avenue, di sini awal pagi tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur memaklumkan lapan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Tun Razak dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 5.21 pagi.
“Nahas itu membabitkan sebuah kereta jenis Peugeot yang dipandu wanita berkenaan dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang dinaiki oleh seorang pemandu berserta penumpangnya,” menurut JBPM Kuala Lumpur dalam kenyataan.
Menurut kenyataan itu, kereta Peugeot berkenaan didapati terbakar 100 peratus manakala pemandunya yang berusia 20-an berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian.
“Kebakaran kenderaan tersebut berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 5.32 pagi dan kesemua mangsa diserahkan kepada pihak ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Terdahulu, insiden berkenaan turut tular di media sosial susulan kesesakan lalu lintas yang teruk dilaporkan berlaku di sekitar lokasi kejadian.
-- BERNAMA