AM

Iftar Muhibah UTM 2026 Wadah Perkukuh Sinergi Rakan Strategik

07/03/2026 10:05 AM

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh hubungan strategik bersama dengan pemegang taruh utamanya menerusi penganjuran Majlis Iftar Muhibah UTM 2026.

Naib Canselor UTM Profesor Dr Mohd Shafry Mohd Rahim berkata penganjuran program itu bukan sekadar acara berbuka puasa sebaliknya menjadi platform strategik untuk memperkukuh kepercayaan, memperluas jaringan kolaborasi serta meningkatkan sinergi antara universiti dan rakan kerjasama.

“Majlis ini mempertemukan hati dan fikrah dalam suasana yang lebih santai namun penuh makna... inilah ruang untuk membina hubungan jangka panjang yang berteraskan kepercayaan dan aspirasi bersama,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Majlis yang berlangsung di Residensi UTM di sini itu menghimpunkan kira-kira 350 tetamu termasuk barisan kepimpinan dan pengurusan universiti, rakan strategik industri, wakil agensi kerajaan, pengamal media, alumni serta warga universiti.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UTM Tan Sri Azman Mokhtar.

Mohd Shafry juga berkata semangat muhibah yang dizahirkan seiring dengan aspirasi baharu UTM menerusi pelan strategik universiti, iaitu ASCEND 2030 yang menyasarkan universiti berkenaan tersenarai dalam kelompok universiti ternama dunia.

Beliau berkata bagi mencapai hasrat itu, UTM memerlukan sokongan padu daripada pelbagai pihak termasuk rakan kerjasama selain pihak media.

“UTM tidak boleh bergerak bersendirian... kita memerlukan sokongan media untuk berkongsi kisah dan pencapaian universiti di dalam dan luar negara, selain kerjasama industri bagi menghasilkan inovasi serta penyelesaian yang lebih lestari pada masa hadapan,” katanya.

Selain itu, Mohd Shafry berkata UTM berharap hubungan yang terjalin melalui platform itu akan terus berkembang sebagai jaringan kolaborasi yang saling memperkukuh sekali gus menghasilkan impak berpanjangan kepada masyarakat, industri dan negara.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2531335