PASARAN

Niaga Hadapan Emas Dijangka Kekal Alami Tekanan Minggu Depan

07/03/2026 11:30 AM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka masih mengalami tekanan pada minggu depan apabila hasil perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) yang lebih tinggi berterusan seiring trajektori semasanya.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata sebarang penurunan dijangka bersifat sementara, memandangkan jualan semasa mungkin mencerminkan peralihan pelabur daripada emas kepada tunai.

Beliau berkata peralihan pelabur itu bertujuan memenuhi saranan margin dalam aset lain, bukannya menandakan peralihan struktur daripada logam berharga itu.

“Bagi minggu depan, saya menjangkakan emas didagangkan dalam julat sekitar US$5,060 hingga US$5,160, dengan tindakan harga dipacu terutamanya oleh pergerakan hasil sebenar AS dan hala tuju dolar AS,” katanya kepada Bernama.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, Mac 2026 susut kepada US$5,128.50 setiap auns troy daripada US$5,200.30 setiap auns troy pada minggu lepas.

April 2026 turun kepada US$5,147.0 setiap auns troy daripada US$5,218.50 setiap auns troy, manakala Mei 2026 menguncup kepada US$5,166.10 setiap auns troy daripada US$5,218.50 setiap auns troy minggu lepas.

Jun 2026 dan Ogos 2026 masing-masing turun kepada US$5,200.0 setiap auns troy daripada US$5,252.40 setiap auns troy sebelum ini.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 73 lot daripada 56 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka turun kepada 100 kontrak daripada 116 kontrak.

Harga emas fizikal ditetapkan pada US$5,104.05 setiap auns troy pada penetapan sebelah petang oleh Persatuan Pasaran Jongkong London pada 6 Mac, 2026.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2531387