KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Lebih 300 penggiat industri perbukuan negara berhimpun pada Majlis Berbuka Puasa anjuran Perbadanan Kota Buku (PKB), di sini malam tadi, sebagai usaha memperkukuh jaringan kerjasama dalam ekosistem perbukuan negara.
Majlis anjuran bersama Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) itu turut dihadiri Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek serta menghimpunkan penerbit, penulis, pendidik, agensi di bawah Kementerian Pendidikan, dan rakan strategik industri.
PKB dalam kenyataan memaklumkan, majlis berkenaan bukan sahaja bertujuan menyemarakkan semangat Ramadan, malah menjadi platform untuk menghargai sumbangan penggiat industri buku dalam memperkukuh budaya ilmu dan pembacaan dalam kalangan masyarakat.
"Sebagai peneraju pembangunan ekosistem perbukuan negara, PKB terus memperkukuh peranannya melalui pelbagai inisiatif strategik termasuk transformasi digital penerbitan, pembangunan platform e-buku dan audio buku, serta program peningkatan kapasiti industri.
"Usaha ini disandarkan kepada objektif utama PKB, iaitu untuk meningkatkan jumlah pembaca baharu di seluruh negara dan memastikan akses kepada bahan bacaan berkualiti dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira lokasi, kemampuan atau latar belakang," menurut kenyataan itu.
Pada peringkat global, PKB semakin menyerlah apabila kandungan dan kolaborasi diketengahkan perbadanan itu mula menarik perhatian rakan industri antarabangsa, sekali gus memperlihatkan potensi Malaysia sebagai pusat pertumbuhan ilmu dan penerbitan serantau.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PKB Adibah Omar berkata industri perbukuan memainkan peranan penting dalam membina masyarakat berpengetahuan dan membentuk hala tuju sesebuah bangsa.
“PKB akan terus memacu transformasi digital, memperluas akses kepada buku serta merancakkan kerjasama dengan MBKM dan rakan-rakan industri, agar kita dapat melahirkan lebih ramai pembaca baharu di seluruh negara," katanya.
Beliau juga optimis Malaysia mampu muncul sebagai kuasa lembut dalam industri perbukuan global, melalui kandungan yang berkualiti, bakat kreatif yang kuat dan ekosistem penerbitan yang semakin matang.
-- BERNAMA