AM

Penguatkuasaan Teks Al-Quran Rekod Nilai Hampir RM2 Juta Tahun Lepas - Saifuddin Nasution

07/03/2026 11:21 AM

KULIM, 7 Mac (Bernama) — Tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Pencetakan Teks Al-Qur’an 1986 (APTQ 1986) sepanjang tahun lalu merekodkan nilai hampir RM2 juta melibatkan pemeriksaan lebih 12,000 premis di seluruh negara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata penguatkuasaan yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu turut melakukan sitaan sebanyak 56,946 unit teks dan bahan bacaan al-Quran dengan pembukaan 302 kertas siasatan.

“Pencapaian itu hasil pelaksanaan fungsi teras Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN yang bertanggungjawab memastikan kesucian, kesahihan dan ketulenan teks al-Quran di Malaysia sentiasa terpelihara.

“Usaha itu dilaksanakan melalui kawal selia terhadap penerbitan, pencetakan, pengimportan, penjualan dan pengedaran mushaf serta bahan al-Quran di bawah peruntukan APTQ 1986,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Saifuddin Nasution berkata pengawalseliaan itu turut diperkukuh dengan pelaksanaan pelekat hologram keselamatan yang diwajibkan sejak 2010 bagi memastikan setiap mushaf yang berada di pasaran telah melalui proses pengesahan yang sah.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata KDN turut meluluskan sebanyak 1,050 perakuan pruf akhir melibatkan mushaf bercetak, bahan digital dan audio bagi memastikan hanya teks al-Quran yang sah dan diperakui berada dalam pasaran negara ini.

Selain penguatkuasaan, beliau berkata KDN turut memberikan perhatian kepada aspek pemuliaan mushaf al-Quran yang rosak, dan pada 15 Feb lepas hampir 3.5 tan teks dan bahan al-Quran yang rosak akibat banjir di Perlis telah dimuliakan mengikut prosedur dan garis panduan ditetapkan.

Sementara itu, beliau berkata Program Jom Exchange Al-Quran (JEQ) yang dilancarkan pada 2023 turut mencatat pelaksanaan 723 program di seluruh negara, melibatkan pertukaran 75,614 naskhah al-Quran yang rosak, usang atau tidak mempunyai perakuan kepada mushaf baharu yang diperakui KDN.

“Susulan kejayaan itu,  Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan turut menerima pengiktirafan ‘The Largest Quran Exchange’ daripada ‘Malaysian Book of Records,” katanya.

Saifuddin Nasution turut menegaskan bahawa usaha memelihara kesucian dan ketulenan teks al-Quran akan terus diperkukuh melalui penguatkuasaan berterusan selaras dengan peruntukan Akta Pencetakan Teks Al-Qur’an 1986.

Terdahulu, beliau menghadiri Program Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Kedah 2026, anjuran Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2531401