EKONOMI

Niaga Hadapan Emas Ditutup Rendah Berikutan Dolar AS Kukuh, Hasil Sebenar Meningkat

06/03/2026 08:47 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Jumaat berikutan peningkatan hasil sebenar Amerika Syarikat (AS) serta dolar AS yang kekal kukuh.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata dolar yang mengukuh telah menarik sebahagian besar daripada permintaan bersifat defensif yang lazimnya menyokong harga emas dalam tempoh ketidaktentuan geopolitik.

“Faktor ini terus menarik aliran pelaburan selamat, daripada emas kepada aset yang memberikan pulangan faedah sekali gus meningkatkan kos peluang untuk memiliki logam yang tidak menawarkan pulangan seperti emas,” katanya kepada Bernama.

Pada penutupan dagangan, kontrak bulan semerta Mac 2026 turun kepada US$5,128.50 bagi setiap auns troy daripada US$5.185.70 pada Khamis.

April 2026 susut kepada US$5,147.00 bagi setiap auns troy daripada US$5,204.20 semalam manakala Mei 2026 rendah kepada US$5,166.10 setiap auns troy daripada US$5,223.30.

Kontrak Jun dan Ogos 2026 turut ditutup rendah kepada US$5,200.00 bagi setiap auns troy berbanding US$5,257.20 sebelumnya.

Jumlah dagangan meningkat kepada 22 lot daripada lima lot pada Khamis manakala kepentingan terbuka menokok kepada 100 kontrak daripada 84 kontrak sebelumnya.

Harga emas fizikal ditetapkan pada US$5,104.05 bagi setiap auns troy semasa penetapan sebelah petang oleh Persatuan Pasaran Jongkong London pada 5 Mac 2026.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2531269