EKONOMI

Bank Muamalat Lancar Tiga Kempen Sempena Ramadan, Perkasa Pelanggan Dan Usahawan

07/03/2026 06:01 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Bank Muamalat Malaysia Bhd melancarkan tiga kempen utama bersempena Ramadan 2026 bagi menghargai pelanggan serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui penyelesaian kewangan Islam yang komprehensif dan ganjaran menarik.

Kempen “Tazkirah Ramadan Terindah Bersama” yang berlangsung dari 18 Februari hingga 18 Mac, 2026 membuka peluang kepada orang awam untuk memenangi pelbagai hadiah istimewa termasuk pakej umrah atau percutian bernilai RM20,000, sebuah motosikal Modenas Elit 150S keluaran Modenas, emas bernilai RM3,000 serta pulangan tunai harian RM100.

Selain menggalakkan orang ramai memperkaya pengisian rohani melalui tontonan rancangan Tazkirah Ramadan yang disiarkan dalam Buletin Utama TV3 dan Buletin TV9 sepanjang Ramadan, kempen ini turut mengajak penonton merebut peluang memenangi hadiah menarik dengan menggunakan aplikasi digital ATLAS by Bank Muamalat.

Selain itu, orang ramai dapat berinteraksi dengan produk dan perkhidmatan perbankan yang ditawarkan oleh bank, menurut Bank Mualamat dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya bagi menyokong pertumbuhan perniagaan tempatan sepanjang musim perayaan dan pasca- Ramadan, Bank turut memperkenalkan “BizSolution: DuitNow QR Campaign” dari 1 Mac hingga 31 Mei, 2026 yang menyasarkan peniaga PMKS dengan Akaun Semasa-i aktif.

Kempen ini menggalakkan peningkatan transaksi melalui DuitNow QR dan menawarkan hadiah bernilai sehingga RM150,000 termasuk dua unit Modenas Elegan 250 EX serta pelbagai ganjaran wang tunai kepada pemenang yang layak.

Kempen ini dianjurkan melalui kerjasama Bank Muamalat dan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) bagi memperluas penggunaan pembayaran digital dalam kalangan peniaga PMKS.

DuitNow QR merupakan standard QR kebangsaan yang dikendalikan oleh PayNet dengan hampir 3.5 juta titik sentuh di seluruh negara.

Selain itu, Bank Muamalat melalui Muamalat Pajak Gadai Islam turut menganjurkan kempen tahunan “Gadai Emas Menang Emas 4.0” yang berlangsung dari 1 Mac hingga 31 Dis, 2026 di seluruh negara.

Kempen ini bertujuan menggalakkan masyarakat memanfaatkan kemudahan pembiayaan Ar-Rahnu patuh syariah sambil berpeluang memenangi pelbagai hadiah emas dengan jumlah keseluruhan hadiah bernilai RM400,000 termasuk hadiah utama pelbagai barangan emas serta hadiah bulanan berbentuk jongkong emas lima gram kepada 40 pemenang sepanjang tempoh kempen.

Dalam kenyataan itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Datuk Khairul Kamarudin berkata, Ramadan merupakan bulan penuh keberkatan dan peluang untuk kita memperkukuh  hubungan dengan pelanggan serta komuniti perniagaan.

”Melalui penganjuran kempen-kempen ini, Bank Muamalat bukan sahaja ingin menawarkan ganjaran yang bermakna, malah terus komited menyediakan penyelesaian kewangan Islam yang relevan, mudah diakses dan menyokong kesejahteraan kewangan masyarakat secara menyeluruh,” katanya.

Beliau menambah bahawa inisiatif ini sejajar dengan aspirasi bank untuk memperluas penggunaan transaksi digital, memperkukuh segmen Ar-Rahnu dan memperkasakan usahawan tempatan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Komersial PayNet Azrul Fakhzan Mainor berkata kerjasama PayNet dengan Bank Muamalat memperkukuh penyertaan PMKS sebagai pemacu utama ekonomi digital negara.

“Inisiatif ini selaras dengan agenda PayNet untuk memperkasakan peniaga kecil melalui pembayaran digital seperti DuitNow QR, meningkatkan kecekapan operasi dan daya saing peniaga terutamanya di kawasan luar bandar seperti Kelantan, Kedah, Pahang dan Johor, sambil merancakkan transaksi DuitNow QR sepanjang Ramadan dan Aidilfitri,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai kempen-kempen Bank Muamalat sepanjang Ramadan, sila layari www.muamalat.com.my.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2531510