KULIM, 7 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa meninjau Bazar Ramadan Taman Selasih dekat sini, hari ini.
Ketibaan beliau pada 5.45 petang itu turut diiringi Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari, dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Dalam sesi tinjauan kira-kira 30 minit itu, beliau berkesempatan beramah mesra dengan sebahagian daripada 142 peniaga yang menjual pelbagai juadah.
Tinjauan Bernama mendapati pengunjung sudah mula menanti kehadiran Perdana Menteri sejak pukul 5 petang agar tidak terlepas peluang berjumpa dengan pemimpin nombor satu negara itu secara dekat.
Sementara itu, peniaga air kelapa, Muhammad Afiq Ikhwan Rosly, 19, berkata dia sangat teruja apabila mengetahui kunjungan Perdana Menteri ke bazar berkenaan.
"Sudah lima tahun saya berniaga di sini … saya amat bangga dan juga terharu apabila Perdana Menteri sudi singgah di gerai saya sebaik sahaja tiba di bazar ini.
"Cuma dalam keadaan kelam kabut, saya tidak sempat bergambar dengan beliau," katanya.
-- BERNAMA