Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Isnin seiring dengan kenaikan niaga hadapan emas di COMEX Amerika Syarikat (AS) memandangkan konflik di Timur Tengah meningkatkan permintaan terhadap aset selamat walaupun dolar AS mengukuh.
Rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata harga emas global naik untuk sesi keempat berturut-turut apabila konflik yang semakin meningkat di Timur Tengah itu mendorong pelabur untuk beralih kepada aset selamat.
Menurutnya harga emas meningkat sehingga 2.5 peratus kepada hampir US$5,415 bagi setiap auns sebelum mengalami penurunan.
“Kenaikan itu berlaku selepas serangan AS dan Israel ke atas Iran yang mengakibatkan kematian pemimpin tertinggi negara itu sekali gus mencetuskan serangan balas peluru berpandu oleh Iran di seluruh rantau itu.
“Peningkatan konflik yang berlaku dengan pantas ini telah menjejaskan pasaran kewangan, menyebabkan pelabur mencari perlindungan dalam aset yang secara tradisinya bertahan seperti emas,” kata Innes kepada Bernama.
Pada penutupan dagangan, kontrak bulan semerta baharu Mac 2026 meningkat kepada US$5,414.20 bagi setiap auns troy daripada US$5,200.30 Jumaat lepas.
Kontrak April 2026 meningkat kepada US$5,432.40 bagi setiap auns troy daripada US$5,218.50 pada Jumaat manakala Mei mengukuh kepada US$5,451.40 bagi setiap auns troy daripada US$5,218.50.
Jun dan Ogos 2026 turut ditutup lebih tinggi kepada US$5,485.30 bagi setiap auns troy daripada US$5,252.40 sebelumnya.
Jumlah dagangan meningkat kepada 16 lot daripada tujuh lot pada Jumaat manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 92 kontrak daripada 116 sebelumnya.
Harga emas fizikal berada pada US$5,222.30 bagi setiap auns troy berdasarkan penetapan oleh London Bullion Market Association pada 27 Feb 2026.
-- BERNAMA