PASARAN

Niaga Hadapan Emas Ditutup Tinggi Berikutan Ketidaktentuan Tarif AS Berterusan

25/02/2026 07:24 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Rabu berikutan ketidakpastian yang berlarutan mengenai tarif Amerika Syarikat (AS).

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes memberitahu Bernama, komoditi selamat itu masih diniagakan pada harga kukuh di tengah-tengah ketidakpastian yang berterusan mengenai isu tarif susulan keputusan Mahkamah Agung AS.

Tarif global baharu Presiden AS Donald Trump telah berkuat kuasa pada kadar 10 peratus, lebih rendah berbanding kadar yang dijanjikan sebelum ini.

Menurut laporan media yang memetik kenyataan pegawai White House, pentadbiran Trump sedang berusaha untuk meningkatkan kadar itu kepada 15 peratus.

Pada penutupan dagangan, kontrak bulan semerta Februari 2026 meningkat kepada US$5,190.30 bagi setiap auns troy daripada US$5,176.00 semalam.

Mac meningkat kepada US$5,209.30 bagi setiap auns troy daripada US$5,174.80 pada Selasa manakala April dan Mei menokok kepada US$5,227.50 bagi setiap auns troy daripada US$5,210.80.

Jun dan Ogos 2026 turut ditutup tinggi kepada US$5,261.40 bagi setiap auns troy, meningkat daripada US$5,244.70 sebelumnya.

Jumlah dagangan naik kepada 19 lot daripada 15 lot pada Selasa manakala kepentingan terbuka menokok kepada 101 kontrak daripada 98 kontrak sebelumnya.

Harga emas fizikal berada pada US$5,120.25 setiap auns troy semasa sesi penetapan petang oleh London Bullion Market Association pada 24 Feb 2026.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2527651