Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Khamis meskipun terdapat ketidakpastian yang berterusan berhubung dasar tarif Amerika Syarikat (AS) dan rundingan AS dengan Iran.
Wakil Perdagangan AS Jamieson Greer dilaporkan berkata kadar tarif AS untuk beberapa negara akan meningkat kepada 15 peratus atau lebih daripada 10 peratus. Bagaimanapun, beliau tidak menamakan negara rakan dagang yang terlibat dengan kenaikan itu.
Sementara itu, pegawai AS dan Iran berada di Geneva, Switzerland hari ini untuk pusingan ketiga rundingan nuklear tidak langsung.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes memberitahu Bernama bahawa emas agak tidak menentu hari ini, bergerak dalam julat yang agak terhad ketika para peniaga bergelut dengan ketidakpastian sama ada ketegangan dengan Iran akan memuncak lagi.
Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Februari 2026 merosot kepada US$5,183.80 setiap auns troy daripada US$5,190.30 setiap auns troy semalam.
Kontrak Mac susut kepada US$5,202.80 setiap auns troy daripada US$5,209.30 setiap auns troy pada Rabu, manakala kontrak April dan Mei masing-masing turun kepada US$5,221.00 setiap auns troy daripada US$5,227.50 setiap auns troy.
Kontrak Jun dan Ogos 2026 turut ditutup lebih rendah kepada US$5,254.90 setiap auns troy, daripada US$5,261.40 setiap auns troy sebelum ini.
Jumlah dagangan menguncup kepada sembilan lot daripada 19 lot pada Rabu, manakala kepentingan terbuka turun kepada 86 kontrak daripada 101 kontrak sebelum ini.
Harga emas fizikal berada pada US$5,191.55 setiap auns troy berdasarkan penetapan oleh London Bullion Market Association pada 25 Februari, 2026.
-- BERNAMA