AM

Mesyuarat MTPMA63 Kumpul Maklum Balas Pihak Berkepentingan

02/03/2026 11:38 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) hari ini mengumpul maklum balas daripada pihak berkepentingan berhubung perkara-perkara yang masih belum selesai dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Mesyuarat yang berlangsung di Bangunan Parlimen itu dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof selaku Pengerusi Jawatankuasa Teknikal MTPMA63.

“Mesyuarat hari ini bertujuan mendapatkan maklum balas daripada kementerian dan agensi persekutuan serta Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak berkaitan semua perkara yang masih belum selesai, termasuk hala tuju yang boleh diambil berhubung isu berkenaan.

“Tiga kertas kerja turut dibentangkan oleh Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan dan Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Jabatan Perdana Menteri (BHESS, JPM),” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Mesyuarat itu menyaksikan Kerajaan Persekutuan diwakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud bersama beberapa menteri persekutuan lain.

Sementara itu, kerajaan Sarawak diwakili ketiga-tiga Timbalan Premier iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Hui Hian.

Kerajaan Sabah pula diwakili tiga Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan, Datuk Seri Masidi Manjun dan Datuk Ewon Benedick.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2529696