KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati serta tidak memberikan komen melampau yang menyentuh isu sensitif berkaitan agama dan kaum dalam media sosial.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata rakyat Malaysia seharusnya bersikap matang, dan tidak menggunakan platform media sosial untuk mencetuskan provokasi sehingga menjejaskan keharmonian negara.
"Masyarakat dinasihatkan supaya merujuk kepada sumber sahih dan dokumen rasmi sebelum membuat sebarang kenyataan bagi mengelakkan salah faham.
"Kita mahu suasana aman dan tenteram ini diteruskan, terutamanya dalam kita menghampiri musim perayaan," katanya selepas Majlis Berbuka Puasa PDRM bersama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai kecaman dalam media sosial selepas tindakan seorang penuntut universiti awam memuat naik hantaran menghina dan mencemarkan al-Quran pada platform Threads baru-baru ini.
Terdahulu, beliau mengesahkan pelajar berkenaan akan dihadapkan ke Mahkamah Kuantan di Pahang, esok.
Mohd Khalid berkata Peguam Negara (AG) telah memberikan keizinan untuk menuduh suspek selepas penelitian mendapati bukti mencukupi bagi memulakan prosiding undang-undang.
Beliau menjelaskan suspek yang kini berada dalam tahanan polis dilaporkan berada dalam keadaan baik sepanjang tempoh reman.
Pada 25 Feb lepas, seorang penuntut universiti ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam dalam media sosial, dengan sebanyak 62 laporan polis telah diterima di seluruh negara berhubung kes berkenaan.
Sementara itu, pada majlis berkenaan, Mohd Khalid turut menerima sumbangan berjumlah RM50,000 daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) sebagai bantuan kepada aktiviti kebajikan warga PDRM di Masjid Sallehin di PULAPOL sepanjang Ramadan.
-- BERNAMA