PASARAN

Bursa Malaysia Ditutup Kebanyakannya Rendah Susulan Sentimen Terkesan Akibat Konflik Timur Tengah

02/03/2026 08:35 PM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup kebanyakannya rendah pada Isnin berikutan sentimen risiko yang merosot ketara disebabkan peningkatan semula konflik Timur Tengah sekali gus mencetuskan penjualan besar-besaran ekuiti di peringkat serantau.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 16.40 mata atau 0.95 peratus kepada 1,700.21 berbanding 1,716.61 semasa ditutup pada Jumaat.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka rendah 27.97 mata kepada 1,688.64 dan bergerak antara 1,684.28 dan 1,703.90 sepanjang sesi dagangan.

Sentimen pasaran adalah lemah, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 1,039 berbanding 290 manakala 392 kaunter tidak berubah, 904 kaunter tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.90 bilion unit bernilai RM3.91 bilion daripada 3.53 bilion unit bernilai RM5.53 bilion pada Jumaat.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata reaksi pasaran mencerminkan keadaan global apabila pelabur mengelakkan risiko dengan mengurangkan pendedahan terhadap aset kitaran dan berisiko tinggi di tengah-tengah kebimbangan mengenai gangguan bekalan, kenaikan harga tenaga dan peningkatan risiko geopolitik.

Beliau berkata saham teknologi mendahui penurunan, dengan Indeks Teknologi Bursa Malaysia merosot 2.94 peratus sekali gus mencerminkan sensitiviti terhadap ketidaktentuan pertumbuhan global dan situasi kewangan yang lebih terhad. 

“Dalam kalangan komponen FBM KLCI, saham pengguna dan runcit mengalami penurunan ketara apabila merosot sehingga 7.26 peratus.

"Keadaan ini disebabkan kebimbangan terhadap inflasi tolakan kos dan permintaan terhadap barangan bukan keperluan menyusut dalam persekitaran kenaikan harga tenaga dan ketidakpastian geopolitik yang semakin meningkat,” katanya kepada Bernama.

Mohd Sedek bagaimanapun berkata saham bahan asas menunjukkan prestasi lebih baik, dengan peningkatan sehingga 13 peratus, disokong oleh lonjakan harga tenaga berikutan risiko tinggi terhadap laluan bekalan di Timur Tengah.

“Perbezaan ini menunjukkan terdapat penggiliran sektor yang jelas, bukannya jualan saham secara sembarangan. Pelabur menstruktur semula strategi pelaburan kepada komoditi dan aset lindung nilai inflasi dan pada masa sama mengurangkan pendedahan terhadap sektor berorientasikan penggunaan dan pertumbuhan,” katanya.

Sementara itu, Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata bagi minggu yang akan datang, pergerakan harga minyak dan dolar AS merupakan faktor penting.

“Sekiranya harga minyak mentah Brent kekal stabil pada paras semasa dan kenaikan dolar AS mereda, Bursa Malaysia dijangka tidak banyak berubah, disokong oleh syarikat besar dalam sektor tenaga dan aliran pelaburan institusi tempatan.

“Bagaimanapun, jika harga minyak terus meningkat dan dolar AS kekal mengukuh, kita mungkin melihat aliran keluar modal yang berterusan daripada pasaran pesat membangun,” katanya.

“Dalam situasi ini, pasaran tempatan diunjur terus mengalami tekanan, bergerak seiring dengan sentimen risiko serantau dan tidak banyak dipengaruhi prestasi keuntungan syarikat tempatan,” katanya.

Setakat ini, harga minyak mentah Brent melonjak 8.08 peratus kepada US$78.76 setong.

Di peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura turun 2.09 peratus kepada 4,890.86, Indeks Hang Seng Hong Kong merosot 2.14 peratus kepada 26,059.85 dan Nikkei 225 Jepun rendah 1.35 peratus kepada 58,057.24.

Antara saham wajaran tinggi Bursa Malaysia, Press Metal meningkat lapan sen kepada RM7.21, Hong Leong Bank menokok 12 sen kepada RM23.40, Maybank susut 24 sen kepada RM11.72, Public Bank rendah lapan sen kepada RM4.85 dan CIMB susut 10 sen kepada RM7.94.

Bagi saham paling aktif, Velesto naik satu sen kepada 31.5 sen, Bumi Armada meningkat 3.5 sen kepada 35 sen, Hibiscus Petroleum melonjak 29 sen kepada RM1.89, Zetrix AI susut empat sen kepada 78 sen, dan Pharmaniaga merosot 1.5 sen kepada 28 sen.

Kaunter paling untung antaranya Petron Malaysia yang melonjak 44 sen kepada RM4.59, Petronas Chemicals meningkat 39 sen kepada RM3.39, Petronas Dagangan menambah 28 sen kepada RM22.26, dan UMS Integrated menokok 23 sen kepada RM4.60.

Bagi kaunter paling rugi, Nestle susut RM3 kepada RM106.90, Hong Leong Industries menyusut RM1.18 kepada RM17.54, Fraser & Neave rendah RM1.04 kepada RM33.90, dan Malaysian Pacific Industries berkurangan 96 sen kepada RM31.

Sementara itu, Bursa Malaysia memaklumkan dagangan sekuriti Nova Pharma Solutions akan digantung berkuat kuasa pada 9 pagi, 9 Mac 2026, menurut Peraturan 8.02(2) Keperluan Penyenaraian Pasaran LEAP.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 130.44 mata kepada 12,480.99, Indeks FBMT 100 susut 129.11 mata kepada 12,304.71, Indeks FBM Emas Shariah merosot 100.96 mata kepada 12,116.60, Indeks FBM 70 menyusut 228.46 mata kepada 17,314.01, dan Indeks FBM ACE rendah 111.25 mata kepada 4,609.0.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 252.70 mata kepada 20,829.10, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.56 mata kepada 171.39, Indeks Tenaga meningkat 24.43 mata kepada 778.17 dan Indeks Perladangan susut 73.01 mata kepada 8,196.56.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 2.37 bilion unit bernilai RM3.62 bilion daripada 2.43 bilion unit bernilai RM5.31 bilion pada Jumaat.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 933.54 juta unit bernilai RM105.71 juta daripada 746.92 juta unit bernilai RM76.83 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE melonjak kepada 586.59 juta unit bernilai RM178.30 juta berbanding 354.36 juta unit bernilai RM143.11 juta pada Jumaat.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 381.73 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (302.98 juta), pembinaan (188.76 juta), teknologi (306.21 juta), perkhidmatan kewangan (143.11 juta), hartanah (281.85 juta), perladangan (34.24 juta), amanah pelaburan hartanah (47.86 juta), dana tertutup (37,200), tenaga (394.37 juta), penjagaan kesihatan (155.08 juta), telekomunikasi dan media (57.50 juta), pengangkutan dan logistik (36.84 juta), utiliti (48.12 juta), dan amanah perniagaan (248,700).

 -- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2529613