AM

Kerajaan Pantau Situasi, Pelajar Malaysia Di Timur Tengah Selamat - Zambry

02/03/2026 08:35 PM

BACHOK, 2 Mac (Bernama) -- Kesemua 1,936 pelajar Malaysia yang sedang melanjutkan pengajian di rantau Timur Tengah dilaporkan selamat berikutan beberapa negara terjejas susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran. 

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata pihak kementerian dengan kerjasama rapat Kementerian Luar Negeri sentiasa memantau keadaan dari semasa ke semasa, dan setakat ini tiada pelajar dilaporkan terjejas.

Beliau berkata berdasarkan rekod pendaftaran semasa, majoriti pelajar berada di Jordan, iaitu 1,762 orang, diikuti Arab Saudi (135), Emiriah Arab Bersatu (21), Kuwait (sembilan), Iran (enam) dan Qatar (tiga).

"Sehingga kini, kita tidak mendapat sebarang laporan mengenai keadaan yang membimbangkan dan setakat ini juga, belum ada sebarang permintaan daripada pelajar untuk dibawa pulang ke tanah air.

"Pihak Education Malaysia (EM) yang berpusat di Dubai dan Jordan sentiasa memantau seluruh negara-negara Arab ini dan melaporkan status keberadaan pelajar kita dengan sebaik-baiknya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Iftar Mahabbah IPTA Kelantan@UMK 2026 di Universiti Malaysia Kelantan Kampus Bachok petang ini.

Bagaimanapun, Zambry menggesa mana-mana pelajar Malaysia di negara Arab yang melanjutkan pengajian secara persendirian, dan belum mendaftar dengan pihak kedutaan atau EM supaya tampil berbuat demikian dengan segera.

Beliau berkata langkah itu disifatkan amat penting bagi memudahkan pihak kerajaan menyusun pelan tindakan menyelamat sekiranya keadaan bertambah kritikal.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2529612