GAYA HIDUP

Idea Lauk Siap Berbekas Curi Tumpuan Di Bazar Ramadan Saujana Rawang

26/02/2026 09:52 AM

Oleh Mohd Afiq Zulkifli

RAWANG, 26 Feb (Bernama) -- Jika kebiasaannya juadah nasi campur di bazar Ramadan dihidangkan dalam dulang terbuka sebelum dibungkus selepas dipilih pelanggan, berbeza pula dengan pendekatan seorang peniaga di Saujana Rawang di sini, yang memilih untuk menjual lauk siap berbekas bertutup.

Siti Halimah Mamat, 47, menggunakan bekas makanan lut sinar dalam pelbagai saiz bagi menempatkan hampir 40 jenis lauk-pauk dengan harga tertera jelas, sekali gus memudahkan urusan pembelian secara lebih tersusun dan pantas.

Tanpa perlu beratur panjang dan bersesak sementara menunggu lauk dicedok dan dibungkus, pelanggan hanya perlu memilih bekas yang dikehendaki dengan harga berpatutan antara RM7 hingga RM10 sebekas, selain pendekatan itu turut menampilkan persekitaran jualan lebih bersih dan terlindung daripada pencemaran lalat.

Keunikan konsep yang dibawa wanita itu turut tular di media sosial sehingga menjadi buah mulut warga maya yang memuji usahanya serta menyifatkan Siti Halimah sebagai peniaga yang jujur, selain ada berpendapat idea berkenaan wajar diiktiraf dalam Malaysia Book of Records.

pic-2

Ditemui Bernama di gerainya baru-baru ini, wanita berasal dari Kota Bharu, Kelantan ini berkata idea membungkus lauk siap berbekas itu diperkenalkannya tahun lepas setelah menyedari risiko kebersihan apabila makanan dijual secara terbuka di bazar Ramadan.

“Ada satu hari saya pergi ke bazar Ramadan untuk membeli makanan dan apabila melihat keadaan di bazar dengan pelbagai kerenah pelanggan serta persekitaran yang boleh menjejaskan kebersihan, saya mula berasa bimbang kemungkinan berlakunya masalah kesihatan termasuk keracunan makanan.

“Walaupun kos penggunaan bekas plastik agak tinggi, faktor kebersihan tetap menjadi keutamaan kerana saya percaya apabila kita berniaga dengan niat yang baik dan menjaga apa yang orang makan, insya-Allah tetap ada rezekinya,” katanya kepada Bernama. 

pic-3

Diusahakan bersama-sama suaminya, ibu kepada empat orang anak itu berkata pendekatan yang diketengahkan mereka menyaksikan jualannya habis terjual setiap hari dengan daging hitam, ayam kurma, sambal kerang dan keli salai lemak merupakan antara menu yang paling disukai pelanggan. 

Berkongsi cerita proses penyediaan lauk siap berbekas itu, Siti Halimah berkata ia dilakukan secara berperingkat dengan sebahagiannya disediakan lebih awal dengan bantuan anaknya sebelum dilengkapkan  di gerai bagi memastikan kebersihan dan kelancaran jualan.

Tidak menyangka konsep diketengahkannya mendapat perhatian meluas, wanita itu berkata sambutan jualannya semakin melonjak selepas gambar gerainya tular di media sosial dengan penggunaan daging mentah ketika ini hampir 40 kilogram (kg) sehari berbanding sekitar 20 kg pada hari pertama jualan.

Gembira dengan sambutan diterima, Siti Halimah berkata dia turut mengusahakan gerai makanan yang menawarkan hidangan set nasi antaranya nasi Arab, nasi hujan panas dan nasi beriani kepada pelanggan sekitar Rawang di luar Ramadan.

pic-4

“Dulu saya juga pernah mengusahakan sebuah restoran selama tujuh tahun di Bandar Country Homes. Namun selepas itu, saya memilih untuk berniaga secara gerai kerana lebih selesa selain kos operasi lebih terkawal berbanding menanggung perbelanjaan tinggi seperti sewaan kedai dan tenaga kerja,” katanya.

Sementara itu, pelanggan tetap yang mahu dikenali sebagai Musa, 75, berkata dia memilih gerai berkenaan kerana kualiti makanan yang konsisten selain layanan baik pengusaha.

“Konsep lauk siap berbekas ini lebih praktikal, mudah dikira dari segi harga dan boleh disimpan jika tidak habis dimakan. Masakannya pula lebih menyerupai masakan di rumah serta tidak terlalu diolah, menjadikan rasanya sedap,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2527741