GAYA HIDUP

Tekstur Unik RizzQuesillo Tarik Perhatian Pencinta Pencuci Mulut

27/02/2026 09:10 AM

Oleh Norhidayyu Zainal

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Mempunyai tekstur lembut seakan-akan puding karamel, namun dengan sentuhan tersendiri quesillo air tangan usahawan muda ini mencuri perhatian ramai sehingga  tular di media sosial dan mencetuskan fenomena dalam kalangan pencinta pencuci mulut.

Diperbuat daripada telur ayam kampung, susu segar, vanila dan gula, pencuci mulut yang berasal dari Amerika Latin itu diolah mengikut cita rasa tempatan dengan struktur lebih padat serta berongga yang menjadi keunikan jenama RizzQuesillo.

Pengasasnya Muhammad Amirul Faiz Kamarulzaman berkata pemilihan telur ayam kampung sebagai pembekal struktur utama adalah kerana kesegaran serta kandungan lemaknya lebih tinggi, yang diperlukan bagi menghasilkan tekstur diingini. 

pic-2

“Saya guna 100 peratus telur ayam kampung tanpa campuran bahan pemekat lain, jadi tempoh penyediaan memang lebih panjang. Proses membakar sahaja mengambil masa sekitar empat jam menggunakan teknik 'water bath', selain keseluruhan penyediaan kira-kira enam jam termasuk penghasilan karamel,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di gerainya di Bukit Bintang, di sini baru-baru ini.

Katanya, pengalaman menikmati quesillo bermula dengan rasa manis dan berkrim sebelum diimbangi karamel pahit manis yang berfungsi mengurangkan rasa muak serta menghasilkan tekstur lebih mewah.

pic-3

“Karamel Rizz memang berprofil pahit manis dan itu merupakan tanda pengenalan kami. Untuk yang pertama kali mencuba, mereka boleh menikmati pemanis mulut ini tanpa karamel atau menambah sedikit gula mengikut cita rasa.

“Sudah menjadi kebiasaan kami memberi peluang kepada pelanggan mencuba sampel percuma sebelum membuat pembelian, namun sepanjang Ramadan ia ditawarkan selepas waktu berbuka puasa,” katanya yang menjalankan penyelidikan dan pembangunan selama setahun bagi mencari resipi yang sesuai.

Muhammad Amirul Faiz, 27, berkata walaupun quesillo berkongsi bahan asas serta teknik penyediaan dengan puding karamel, pencuci mulut itu tampil dengan tekstur lebih tebal dan berkrim selain memberi elemen nostalgia kerana variasinya wujud di pelbagai negara dengan nama berbeza.

pic-4

Dijual pada harga sekitar RM15 sepotong dan RM120 bagi satu loyang, Muhammad Amirul Faiz berkata permintaan terhadap quesillo terus meningkat dengan pengeluaran kini mencecah sekitar 30 hingga 40 loyang sehari dan meningkat dua kali ganda pada hujung minggu.

“Majoriti maklum balas yang diterima sangat positif dengan pelanggan tempatan serta pelancong asing menunjukkan keterujaan selepas mencuba. Malah ada yang membeli dalam kuantiti lebih banyak dan berkongsi pengalaman mereka di media sosial,” katanya.

Muhammad Amirul Faiz berkata antara pengalaman paling memberi kesan ialah apabila seorang pelanggan dari Kanada menyifatkan quesillo tersebut sebagai “best treat ever” serta membelinya sebanyak lima kali dalam tempoh sebulan.

pic-5

Namun, katanya, peningkatan permintaan turut hadir bersama-sama dengan cabaran kerana keseluruhan proses menghasilkan quesillo dilakukan sendiri, mengakibatkan beliau berdepan kekangan masa, keletihan serta risiko pembaziran produksi.

“Pernah sekali saya tertidur ketika menunggu oven dan akibatnya satu 'batch' 30 loyang terpaksa dibuang begitu sahaja,” katanya yang berkelulusan dalam bidang keusahawanan daripada  Kolej Profesional MARA Bandar Melaka. 

Justeru, beliau merancang melatih tenaga kerja baharu bagi membantu proses pengeluaran selain memastikan operasi dapat dikembangkan secara berperingkat memandangkan kemahiran menghasilkan quesillo memerlukan latihan khusus.

pic-6

Seorang pelanggan, Dayang Nurnabila Baharin, 34, berkata kekangan masa menjaga anak kecil serta pengalaman gagal ketika cuba membuat sendiri mendorongnya untuk sekadar membeli pencuci mulut itu.

“Kalau buat sendiri kadang-kadang tak menjadi, jadi saya pilih beli sebab saiznya besar, harga berpatutan dan nampak berkualiti,” kata suri rumah itu.

Bagi Nor Nabila Sham Abd Rahman, 32, pula, minat terhadap puding karamel serta ulasan pelanggan mengenai perbezaan rasa mendorongnya mencuba pencuci mulut itu buat kali pertama.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2528235