GAYA HIDUP

Trend Kad Raya AI Semakin Jadi Pilihan Warga Maya

28/02/2026 11:43 AM

Oleh Atira Khalisha Nor Adnan

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Dahulu, menerima kad ucapan "Selamat Hari Raya" bertulisan tangan sebagai tanda ingatan dan kasih daripada insan tersayang atau sahabat handai, adalah antara momen paling dinanti-nantikan menjelang sambutan Aidilfitri.

Kad-kad itu hadir dalam pelbagai corak dan rekaan kreatif dengan sebahagian turut disertakan "cip" yang memainkan lagu raya sebaik lipatan kad dibuka, menghidupkan lagi suasana Aidilfitri.

Bagaimanapun kini, seiring dengan peredaran zaman dan teknologi,  kad digital menjadi pilihan utama dengan trend terbaharu menunjukkan warga maya memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menzahirkan kreativiti mereka. 

pic-2

Suzana Ali Hassan @ Ali antara yang berbuat demikian, namun katanya penggunaan AI tidak bermakna dia mengetepikan nilai sentimental yang ada pada kad konvensional, sebaliknya teknologi itu sekadar alat untuk dia meluahkan kreativiti dan perasaan mengikut perubahan zaman.

Wanita berusia 35 tahun itu berkata walaupun kaedah penyampaian kini beralih kepada digital,  elemen keikhlasan tetap ada, dan bergantung pada kebijaksanaan individu dalam memilih rekaan, mesej dan konsep yang ingin disampaikan kepada penerima.

“Kalau dulu kita bagi ucapan dengan tulisan tangan untuk timbulkan perasaan,  sekarang, walaupun dijana menggunakan AI, niat dan usaha (untuk zahirkan ingatan) kita masih bermakna.

“Semasa pilih rekaan yang sesuai untuk diberikan kepada orang, hati kita juga yang tentukan (rekaan sesuai), walaupun kita guna AI. AI ini cuma alat untuk merealisasikan apa yang ada dalam hati kita.” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

pic-3

Sering menggunakan aplikasi Gemini Pro dan Flow bagi menghasilkan karya AI, anak jati Johor itu menjadikan visual subjek bersama-sama kucing rekaan dinamakan Pumpkin, sebagai fokus utama kandungan, sekali gus menarik perhatian peminat haiwan comel berkenaan.

Suzana berkata dia turut berkongsi tutorial penghasilan kad ucapan AI di media sosial yang mendapat sambutan menggalakkan dengan ramai pengguna tampil mencuba sendiri serta berkongsi hasil kreativiti masing-masing.

“Ramai yang gembira apabila berjaya hasilkan kad sendiri kerana mereka boleh masukkan elemen peribadi seperti haiwan peliharaan atau watak pilihan. AI cuma alat, tetapi niat untuk menggembirakan orang lain itu tetap datang daripada diri kita,” katanya.

Berkongsi pandangan sama, Nurul Syuhada Roslan berkata kaedah digital bukan sahaja lebih mudah, malah memberi ruang kepada pengguna untuk mereka bentuk kad mengikut cita rasa sendiri selain menjimatkan kos penghantaran, khususnya apabila melibatkan rakan atau ahli keluarga yang tinggal jauh. 

“Tradisi mungkin berubah tapi vibes masih ada, dan dengan adanya AI, rekaan  itu tak terhad dan menjadi lebih menarik. Keikhlasan itu masih ada lagi, begitu juga dengan usaha orang yang beri kad raya,” kata wanita berusia 27 tahun itu.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2528704