AM

Kebakaran Kilang Getah Tinggalkan Kesan Hitam Pada Kenderaan, Kediaman Penduduk

26/02/2026 06:41 PM

KULAI, 26 Feb (Bernama) -- Kebakaran sebuah kilang memproses getah di Sengkang di sini pada Selasa lepas bukan sahaja memusnahkan struktur bangunan, malah meninggalkan kesan hitam, berbau minyak dan melekit pada kenderaan penduduk berhampiran.

Hujan yang turun semasa kejadian itu dipercayai membawa bersama sisa jelaga, sekali gus menghasilkan air berwarna hitam yang mencemari kawasan sekitar.

Pekerja pembersihan Sukiman Jayos, 57, yang tinggal di Pangsapuri Temenggong kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian berkata kereta Proton Wira miliknya turut terkena tempias sehingga meninggalkan kesan tompokan air hitam yang sukar ditanggalkan tanpa menggunakan penggilap.

“Air hujan yang turun nampak macam bercampur minyak, bau pun seakan sama,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Bapa kepada tiga anak itu berkata tiupan angin turut membawa bau asap yang kuat sehingga menyesakkan pernafasan.

Sementara itu, pemilik Kulai Cafe Siti Fathimah Hatmim, 41, berkata kira-kira 15 helai uniform pekerjanya rosak akibat terkena air hujan berwarna hitam berkenaan.

Beliau berkata kesan jelaga turut menyebabkan khemah putih miliknya bertukar menjadi kelabu dengan tompokan hitam yang ketara.

“Selain itu, tujuh kereta termasuk kereta saya dan pekerja menjadi kotor dan terpaksa dihantar ke kedai untuk proses menggilap bagi menanggalkan kesan melekit,” katanya yang telah berniaga sejak 2017.

Siti Fathimah berkata beliau tidak mempunyai pilihan lain selain membelanjakan kira-kira RM299 bagi membersihkan kereta Honda miliknya.

Siti Norliana Rahman, 34 tahun pula berkata khemah miliknya di Bazar Ramadan Temenggong juga mempunyai kesan tompokan hitam seperti minyak. 

“Kepulan asap tebal berwarna hitam boleh nampak di udara, iaitu tidak jauh dari lokasi bazar. Bukan sahaja khemah, kereta saya juga ada kesan sama,” katanya yang telah berniaga lebih setahun di situ.

Bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.37 petang Selasa yang melibatkan sebuah stor plastik jenis separuh kekal berukuran 300 x 500 x 80 kaki dengan operasi pemadaman mencapai 90 peratus setakat tengah hari ini. 

Setakat ini, lima sekolah di sekitar kawasan berkenaan ditutup berikutan asap tebal serta bau pembakaran di kawasan sekolah yang berpotensi menjejaskan kesihatan warga sekolah.

Sebanyak 56 pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Kota Kulai dan 24 pelajar SK Taman Kota Kulai 2 juga mengalami gejala ringan susulan kebakaran itu.

-- BERNAMA


 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2528082