AM

Sangka Kebakaran Tidak Teruk Sebelum Tahu Lima Maut - Adik

26/02/2026 03:24 PM

RAUB, 26 Feb (Bernama) --  Adik kepada Mohd Alawi Muhammad, Muhammad Yusri Zulhairi Mat Dani pada awalnya menyangka kebakaran rumah abangnya di Kampung Pamah Kulat di sini tidak begitu teruk sebelum mendapat tahu kejadian itu mengorbankan lima individu. 

Muhammad Yusri Zulhairi, 27, yang tinggal di Kampung Jelu, Dong di sini berkata menerima panggilan daripada adik iparnya pada 4.30 pagi memaklumkan kejadian itu dan terus bergegas ke lokasi kejadian. 

“Sebaik tiba di lokasi, saya dimaklumkan semuanya sudah tiada,” katanya kepada pemberita semasa ditemui di Unit Forensik Hospital Raub hari ini. 

Peniaga itu berkata kali terakhir berjumpa dengan arwah abangnya ialah pada tiga hari lepas di bazar Ramadan Pekan Dong lokasi Mohd Alawi dan isteri Zaleha Adam @ Ibrahim berniaga. 

Lelaki itu berkata arwah ialah anak sulung daripada enam beradik dan menjadi tempat bergantung keluarga serta pemurah dan gemar bersedekah terutama ketika berniaga.

“Kalau mak perlu bantuan, dia yang sampai dahulu. Memang arwah banyak menolong urusan keluarga dan dengan adik-beradik pun dia sentiasa ambil berat. 

“Abang periang dan peramah, dengan orang yang tidak kenal pun akan dilayan seperti kawan lama. Setiap kali saya ke tempat dia berniaga, ada saja diberi sampai saya naik segan,” katanya dan menambah arwah yang mengajarnya memandu. 

Muhammad Yusri Zulhairi berkata walaupun kehilangan itu amat dirasai namun mereka sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi kerana abang bersama-sama keluarganya pergi pada bulan yang baik bagi umat Islam. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang Fadzli Mohamad Kamal turut ke lokasi kejadian pada 7.30 pagi selain menyantuni dua anak pasangan itu di Hospital Raub. 

Fadzli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong berkata telah lama mengenali Mohd Alawi dan turut bergambar bersama-sama pada kali terakhir mereka berjumpa pada hari pertama puasa di bazar Ramadan. 

“Arwah seorang yang sangat mesra. Kalau nampak kita, dia akan datang dahulu dan menegur. Bagi saya pemergian ini amat menyedihkan,” katanya. 

Kebakaran pada awal pagi tadi mengorbankan Mohd Alawi, 56, dan Zaleha, 44, serta tiga anak perempuan mereka Ruby Adira Batrisya, 17, Ruby Adlina Banin, 14, serta Ruby Azyan Barizah, 10 tahun.

Dua lagi anak pasangan itu selamat kerana tiada di rumah, iaitu Ruby Adalia Balqis, 19, yang merupakan pelajar matrikulasi di Gambang, Kuantan manakala Ahmad Balia Murqam, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dong. 

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata kebakaran memusnahkan 100 peratus struktur rumah dan turut melibatkan masing-masing tiga kereta dan motosikal.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2527954