AM

Sultan Pahang, Tengku Ampuan Zahir Ucapan Takziah Lima Sekeluarga Maut Kebakaran

26/02/2026 03:27 PM

RAUB, 26 Feb (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada waris lima sekeluarga yang meninggal dunia dalam tragedi kebakaran di Kampung Pamah Kulat, Dong di sini awal pagi tadi. 

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menzahirkan rasa dukacita atas kejadian berkenaan dan berharap seluruh ahli keluarga kesemua mangsa dikurniakan ketabahan dalam menghadapi ketentuan dan takdir Allah SWT.

“Baginda berdua turut mendoakan agar roh kesemua mangsa meninggal dunia dalam bulan Ramadan yang mulia ini dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hamba Allah yang dikasihi,” menurut hantaran dimuat naik di laman Facebook Kesultanan Pahang.

Sementara itu, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut merakamkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada seluruh ahli keluarga mangsa atas kehilangan ini. 

“Insya-Allah, kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan sewajarnya serta memastikan kebajikan keluarga mangsa diberikan perhatian sepenuhnya,” katanya.

Tragedi menyayat hati itu mengorbankan lima sekeluarga terdiri daripada Mohd Alawi Muhammad, 56, isterinya Zaleha Adam @ Ibrahim, 44, serta tiga anak mereka, iaitu Ruby Adira Batrisya, 17, Ruby Adlina Banin, 14, dan Ruby Azyan Barizah, 10.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2527960