KULAI, 26 Feb (Bernama) -- Sebanyak 56 pelajar daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Kota Kulai dan 24 pelajar SK Taman Kota Kulai 2, mengalami gejala ringan susulan kebakaran sebuah kilang memproses getah di Sengkang, di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Ling Tian Soon berkata pelajar terlibat antaranya mengalami sakit kepala, batuk, sakit mata dan sesak nafas ringan.
Bagaimanapun, beliau berkata kesemua pelajar berkenaan berada dalam pemantauan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kulai dan tiada yang dimasukkan ke dalam wad setakat ini.
"Pihak PKD bersama-sama agensi berkaitan akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan orang awam sentiasa terpelihara," katanya dalam kenyataan.
Ling turut menasihati orang ramai agar tidak panik dan sentiasa mendapat maklumat daripada sumber yang rasmi.
Mereka yang mengalami sebarang gejala termasuk sakit kepala berpanjangan, batuk yang teruk, iritasi mata atau kesukaran bernafas turut disarankan supaya segera mendapatkan pemeriksaan di fasiliti kesihatan, katanya.
Dalam pada itu, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor Mazrita Masnon ketika ditemui di lokasi kebakaran berkata setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung pencemaran sungai susulan kebakaran itu.
Beliau berkata pihak premis juga telah diminta melaksanakan langkah-langkah kawalan bagi memastikan air daripada kesan pemadaman tidak memasuki sungai berdekatan.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.37 petang, Selasa lepas, dengan setakat ini lima sekolah di sekitar kawasan berkenaan ditutup berikutan asap tebal serta bau pembakaran di kawasan sekolah yang berpotensi menjejaskan kesihatan warga sekolah.
-- BERNAMA