JENAYAH & MAHKAMAH

SPRM Tahan Tiga Individu Disyaki Kemuka Butiran Palsu Program Sumbangan Makanan Asas

25/02/2026 06:06 PM

PUTRAJAYA, 25 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan pengerusi dan bendahari sebuah badan bukan kerajaan (NGO) serta seorang pengarah syarikat kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu melibatkan program sumbangan makanan asas berjumlah kira-kira RM5 juta.

Perintah reman selama empat hari sehingga Sabtu terhadap ketiga-tiga suspek, terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30-an, dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Menurut sumber, kesemua suspek ditahan petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas siasatan awal mendapati mereka dipercayai mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu berkaitan program sumbangan makanan asas dengan niat untuk mengelirukan pihak NGO tempat pengerusi dan bendahari tersebut berkhidmat.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek, termasuk bendahari NGO berkenaan yang juga merupakan pengarah syarikat terbabit, disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada 2021 hingga 2023,” menurut sumber itu.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM Datuk Norhaizam Muhammad ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2527571