AM

Pemergian Sharifah Zuriah Kehilangan Besar Kepada Industri Seni Negara - PM Anwar

26/02/2026 05:46 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pemergian pelukis dan bekas Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara Sharifah Zuriah Al-Jeffri sebagai satu kehilangan besar kepada dunia seni negara.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar berkata Allahyarham banyak mencurahkan bakti dalam memperkasakan pembangunan seni visual tanah air.

"Saya dan Azizah (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) turut berdukacita atas pemergian Allahyarhamah Sharifah Zuriah Al-Jeffri yang telah kembali ke rahmatullah semalam.

"Antara karya yang dekat di hati ialah lukisan bertajuk Wither Compassion? Wither Justice? Wither Peace? yang dihasilkan sebagai refleksi terhadap peristiwa pemecatan saya pada 1998, sebuah karya yang merakamkan suara nurani dan tuntutan keadilan melalui bahasa seni," kata beliau.

Perdana Menteri turut mendoakan roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan insan beriman serta beramal soleh.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2528040