KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Suspek yang melepaskan tembakan ke arah kenderaan komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Bukit Kayu Hitam, Kedah semalam berjaya ditahan dalam tempoh kurang 24 jam.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata proses soal siasat terhadap suspek sedang dilakukan ketika ini.
"Ini merupakan satu insiden yang amat kita kesali, tetapi kita bersyukur kerana komander AKPS selamat ketika keluar awal pagi nak solat subuh. Tembakan hanya kena pada kenderaan beliau,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) tentang isu keselamatan pegawai penguat kuasa di sempadan susulan insiden tembakan di Bukit Kayu Hitam.
Semalam, kereta Proton X70 dipandu SAC Mohd Nasaruddin Mohd Nasir ditembak pada 5.40 pagi di susur masuk Masjid Muhajirin, Bukit Kayu Hitam, kira-kira satu kilometer dari sempadan Malaysia–Thailand.
Dua suspek menaiki sebuah motosikal melepaskan dua das tembakan dipercayai menggunakan senjata semi automatik ke arah kenderaan mangsa.
Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ancaman keselamatan di sempadan negara.
Beliau berkata jaminan keselamatan sempadan kekal menjadi keutamaan kerajaan memandangkan agensi yang bertugas di pintu masuk negara berdepan dengan pelbagai ancaman termasuk jenayah rentas sempadan, penyeludupan senjata, dadah dan manusia serta jenayah terancang.
-- BERNAMA