KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Edisi pertama Piala Lee Chong Wei (LCWC) bakal menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM100,000, sekali gus menjadikannya antara kejohanan badminton peringkat remaja paling lumayan di Malaysia.
Pertandingan itu bertujuan mengenal pasti dan membangunkan pemain muda berpotensi selain mempromosikan gaya hidup sihat serta nilai-nilai kesukanan yang positif.
Legenda badminton negara Datuk Seri Lee Chong Wei berkata kejohanan berkenaan menandakan usaha terbaharunya untuk membalas jasa kepada sukan yang membentuk kerjayanya.
“Saya berharap inisiatif ini akan membantu membentuk individu yang berdaya tahan dan menggalakkan kanak-kanak daripada pelbagai latar belakang untuk menyertai sukan.
“Badminton sentiasa menyatukan rakyat Malaysia daripada segenap lapisan masyarakat dan saya berharap LCWC dapat menjadi platform bermakna untuk pemain muda berkembang dan maju,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sementara itu, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyifatkan LCWC sebagai tambahan berharga kepada struktur pembangunan akar umbi badminton Malaysia.
“LCWC bukan sekadar kejohanan, ia adalah platform untuk meluaskan akses, memperkukuh saluran pembangunan akar umbi kita dan memupuk generasi bakat seterusnya,” katanya.
Kejohanan itu akan mempertandingkan tiga kategori umur, iaitu Bawah 13 Tahun, Bawah 15 Tahun dan Bawah 17 Tahun yang merangkumi lima disiplin seperti perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran.
Juara juga akan memperoleh peluang menyertai sesi pemilihan di Akademi Badminton Malaysia.
-- BERNAMA