JENAYAH & MAHKAMAH

SPRM Reman Pesara PBT Pulau Pinang Disyaki Salah Guna Kuasa

25/02/2026 05:48 PM

GEORGE TOWN, 25 Feb (Bernama) -- Seorang pesara pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ditahan reman kerana disyaki menyalahgunakan kedudukan dengan memberi kerja pembaikan dan penyelenggaraan kenderaan pejabat kepada syarikat milik isterinya, dua tahun lepas.

Majistret Nur Fadrina Zulkhairi mengeluarkan perintah reman sehingga 1 Mac selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Sumber berkata suspek lelaki berusia lingkungan 50-an ditahan kira-kira 1 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Pulau Pinang.

“Siasatan awal mendapati suspek melakukan perbuatan itu pada 2024 apabila menggunakan kedudukannya melantik syarikat isterinya untuk pembaikan dan penyelenggaraan kenderaan pejabat tempatnya bekerja dengan jumlah kira-kira RM700,000,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang Datuk Karunanithy Subbiah ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Beliau berkata siasatan diteruskan termasuk penelitian dokumen kontrak dan aliran kewangan berkaitan bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2527569